Panjut Lima Beradik, kembalikan nostalgia Aidilfitri

NAMANYA sahaja sudah cukup unik, apatah lagi setiap individu yang terlibat dalam menghasilkan panjut buluh mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan pembuatannya cantik, kemas serta memberi kepuasan kepada pelanggan yang membelinya.

Dikenali dengan nama Panjut Lima Beradik, pelita buluh ini mula meraih perhatian ramai semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  ekoran pandemik Covid-19 yang membenarkan sambutan Aildilfitri di kediaman masing-masing.

Menceritakan detik permulaan Panjut Lima Beradik, Mohd Noor Ashraf Mohd Nadzri, 27, berkata, idea menjual panjut buluh diperoleh ketika dia bersama dua abang kandung dan dua lagi abang iparnya berkumpul semasa PKP memandangkan kediaman mereka di dalam kawasan yang sama.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, kesuraman PKP pada masa tersebut mendorong mereka untuk mengambil buluh dan menghasilkan panjut sebagai alternatif memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika itu.

Panjut Lima Beradik, kembalikan nostalgia Aidilfitri
Pembuat panjut buluh, Mohd Hafiz Hashim 34, (dua,kiri) bersama adik ipar serta birasnya melakukan kerja-kerja bagi menyiapkan panjut buluh yang ditempah pelanggan di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 MAC 2024.

“Ketika itu kami duduk melepak lima orang dan bingung tidak tahu hendak buat apa kemudian abang ipar sulung bagi idea untuk buat panjut buluh dengan niat pasang keliling rumah agar seronok sikit sambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Maka kami semua masuk ke kebun mencari buluh dan bila siap kami muat naik dalam Facebook kemudian ada yang bertanya ada jual ke tidak.

“Kami kemudian berbincang dan setuju untuk cuba jual sekurangnya dapat juga pendapatan,” katanya ketika ditemui dikediaman mereka di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng.

Noor Ashraf berkata, selepas kelima-lima mereka sepakat untuk menjual panjut buluh dia kemudiannya memuat naik hantaran di Facebook serta menguar-uarkan kepada rakan-rakan serta ahli keluarga terdekat.

Pembuat panjut buluh, Mohd Hafiz Hashim 34, (kiri) dan Mohd Noor Amirul Mohd Nadzri 29, melakukan kerja-kerja bagi menyiapkan panjut buluh yang ditempah pelanggan di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 MAC 2024.

“Bila kami buka sahaja tempahan ramai yang menghubungi dan memang tidak sangka sambutannya begitu meriah sampai tidak menang tangan kami lima beradik menyiapkan tempahan dan kini sudah lima tahun kami menjual panjut buluh.

“Mula-mula kami terima tempahan sekitar Gopeng, Kampar, Meru dan Chemor di Ipoh kemudian tahun kedua dan seterusnya kami mula menerima tempahan dari Johor, Kelantan, Perlis dan lain-lain negeri di mana penghantaran dihantar melalui pos,” katanya.

Bahagi tugas pastikan hasil kemas

Ditanya mengenai proses pembuatan panjut buluh Noor Ashraf berkata, setiap seorang daripada lima ahli keluarganya itu mempunyai tugas masing-masing dalam menghasilkan panjut bagi memastikan kelancaran serta kekemasan panjut yang dihasilkan.

Ujar beliau, bermula dari mencari buluh yang sesuai sehinggalah memotong, menebuk lubang, menghasilkan rumah sumbu menggunakan tin minuman terpakai, memasukan sumbu serta menyediakan kaki panjut dilakukan oleh individu berbeza.

Pembuat Panjut Lima Beradik melakukan kerja-kerja memotong buluh mengikut saiz yang ditempah pelanggan di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 MAC 2024.

“Pembuatan Panjut Lima Beradik ini bermula dengan mencari buluh di mana dua daripada kami akan masuk ke kebun untuk memotong buluh yang sesuai kemudian dua lagi akan menarik keluar buluh sebelum dipotong dan dibawa pulang untuk dibasuh.

“Tujuan buluh dibasuh adalah untuk buang miang yang ada kemudian baharu kita akan potong mengikut ruas selain membuat kaki panjut menggunakan buluh sebelum ia ditebuk dan dipasang sumbu,” katanya.

Noor Ashraf berkata, bahagian pertama menghasilkan panjut buluh selepas diambil dari kebun akan dimulakan oleh abang ipar sulungnya dengan menebuk lubang sumbu di buluh mengikut kepanjangan ruas serta permintaan pelanggan.

“Kemudian abang ipar nombor dua akan menebuk lubang minyak di bahagian paling kiri dan kanan, manakala abang saya yang kedua pula akan memotong buluh untuk dijadikan kaki panjut.

Pembuat panjut buluh, Mohd Noor Amirul Mohd Nadzri 29, melakukan kerja-kerja bagi menyiapkan panjut buluh yang ditempah pelanggan di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 MAC 2024.

“Sementara itu, tugas saya adalah membuat rumah sumbu menggunakan tin minuman terpakai dengan memotong dan menggulungnya sebelum ia diakhiri oleh seorang lagi abang saya dengan memasukan sumbu ke dalam rumah sumbu berkenaan,” katanya.

Usaha kembalikan nostalgia panjut buluh

Noor Ashraf berkata, dari segi jualan pula, setiap panjut yang dihasilkan dijual dengan harga berbeza mengikut panjang serta jumlah sumbu yang ada di setiap ruas buluh yang dihasilkan.

Menurut beliau, kebiasaannya mereka akan menyiapkan terlebih dahulu tempahan yang diterima bagi memastikan pelanggannya menerima panjut buluh lebih awal ataupun sebelum waktu yang mereka ingini.

“Tempahan panjut buluh ini kami buka sebelum puasa lagi dengan melakukan pemasaran di Facebook dan WhatsApp untuk kegunaan raya selain turut menerima tempahan selepas raya bagi kegunaan rumah terbuka.

Pembuat panjut buluh, Mohd Hafiz Hashim 34, memasukkan sumbu ketika melakukan kerja-kerja bagi menyiapkan panjut buluh yang ditempah pelanggan di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 MAC 2024.

“Dari segi harga pula panjut kami bermula dari RM10 bagi tiga sumbu, RM20 enam sumbu dan RM23 bagi lapan sumbu termasuk kaki daripada buluh juga yang kita bagi sekali untuk pelanggan pasang,” katanya.

Ditanya mengenai erti menghasilkan panjut buluh bersama empat lagi ahli keluarganya, Noor Ashraf berkata, biarpun pada mulanya ia hanyalah secara spontan, dia melihat masa yang diluang setiap kali Ramadan dan Aidilfitri menjadikan mereka berlima semakin akrab.

Selain itu, dia juga melihat usaha yang dilaksanakan mereka itu dapat memastikan generasi masa kini masih mengenali panjut buluh selain dapat merasai suasana masyarakat dahulu yang menjadikan buluh sebagai salah satu sumber alatan utama mereka.

Kanak-kanak kelihatan gembira bermain bunga api di sekitar panjut buluh yang dipasang di Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 MAC 2024.

“Bagi kami panjut buluh lebih cantik cahayanya berbanding pelita moden yang ada sekarang selain mengembalikan nostalgia kita semasa kecil di kampung yang begitu meriah suasananya setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.

“Saya berharap dengan usaha kami ini dapatlah memastikan masyarakat Melayu terutamanya generasi masa kini tidak melupakan panjut buluh yang satu masa dahulu merupakan antara kebanggaan nenek moyang kita dalam memeriahkan hari raya Aidilfitri,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

MGPerak: Panjut Lima Beradik Usaha Lima Bersaudara Kembalikan Nostalgia Aidilfitri

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI