TAIPING – Sepasang suami isteri di Changkat Jering, dekat sini tidak pernah menyerah kalah dalam berdepan ujian kehidupan walaupun bergelar asnaf.
Abdul Aziz Alias, 60, dan isteri, Ramlah Said, 54 bersama-sama tekad memajukan diri dengan mengusahakan pembenihan pokok kantan di halaman kediaman mereka, sejak dua tahun lalu.
Menurut Abdul Aziz, anak pokok kantan yang dijual hasil pembenihan di tapak semaian seluas 40×60 kaki persegi itu mampu meraih keuntungan sehingga RM600 sebulan.
Penerima bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal itu berkata, aktiviti yang dijalankan itu sedikit sebanyak mampu menampung keperluan kehidupan mereka.
“Pembenihan anak pokok kantan ini kami mulakan dengan semaian di dalam polibeg, sebelum ia dipindahkan dengan ke polibeg lebih besar untuk dibiarkan tumbuh tinggi.
“Anak pokok kantan yang mencapai ketinggian sehingga lapan inci akan dijual kepada Pertubuhan Kebajikan Al-Akram Larut Matang dan Selama Perak (PEKEBAL) atau mana-mana pihak lain dengan kadar harga RM3.50 ke RM8 setiap satu polibeg,” katanya ketika ditemui MG Perak di kediamannya di Changkat Jering, dekat sini.
Ujar bapa kepada tiga anak itu, antara cabaran yang dihadapi sepanjang mengusahakan tanaman itu adalah ancaman serangga perosak seperti belalang, serta cuaca panas yang memerlukan penjagaan rapi.
Menceritakan kembali detik-detik awal penglibatan dalam bidang itu, Abdul Aziz memberitahu kehidupannya berubah apabila diserang penyakit gout yang serius sehingga memaksanya berhenti kerja sebagai jurujual pada tahun 2014.
Katanya, selama tujuh tahun, dia hanya bergantung kepada ehsan ahli keluarga lain di samping Ramlah memikul tanggungjawab sebagai tunjang keluarga demi meneruskan kelangsungan kehidupan.
Tambahnya lagi, insan tercintanya itu melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual asam keping bagi membiayai kos rawatan gout berkala Abdul Aziz di Hospital Taiping.
Bagai sinar di hujung terowong, pasangan itu kemudian ditemui badan bukan kerajaan (NGO) PEKEBAL yang ketika itu sedang merancang menjalankan program membantu asnaf menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti tanaman pokok kantan pada September 2022.
“Ketika itu saya memang mahu mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kudrat saya ini. Alhamdulillah, Timbalan Pengerusi PEKEBAL, Abd Halim Abd Majid menawarkan saya program berkenaan, dan saya terima,” katanya.
Menurut Abdul Aziz lagi, ia lebih manis apabila usaha dia dan isterinya itu turut mendapat perhatian Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) selepas mereka memperoleh bantuan Geran Usahawan Asnaf Berjaya berjumlah RM3,000 untuk perusahaanya itu.
“Kami merancang agar dapat menambah bilangan tapak semaian serta memasang sistem pancuran air untuk memudahkan kerja-kerja penyiraman benih dan anak pokok kantan pada masa hadapan,” ujarnya.
Ramlah yang selama ini menjadi tulang belakang kepada Abdul Aziz turut memainkan peranan penting dalam memastikan setiap tanaman anak pokok kantan itu dapat dijaga dengan baik.
Menurut Ramlah, bidang pertanian bukan asing baginya kerana telah didedahkan dengan bidang berkenaan sejak daripada kecil selain pernah mengikuti program di Institut Pertanian di bawah Jabatan Pertanian Negeri sebelum ini.
“Bidang pertanian ini memang sudah menjadi darah daging kepada saya kerana saya amat meninati bidang itu.
“Anak-anak menjadi kekuatan saya dan suami untuk terus terlibat dalam perusahaan tanaman benih dan anak pokok kantan ini,” jelasnya.
Bantu perkasakan asnaf
Dalam pada itu, Abd Halim ketika ditemui berkata, anak pokok yang mencapai piawaian hasil diusahakan pasangan itu akan dibawa ke stor simpanan yang terletak kira-kira 5 kilometer (km) dari kediaman Abdul Aziz, untuk proses tumbesaran sebelum dijual ke pasaran.
Menurut Abd Halim lagi, pokok kantan yang dihasilkan itu juga turut mendapat permintaan yang tinggi sehingga berjaya menembusi pasaran termasuk di Negeri Kedah, Johor dan Pahang.
Di samping itu, beliau berkata, selain daripada aktiviti penjualan, pihaknya juga terlibat dalam aktiviti pemasaran terhadap perusahaan anak pokok kantan yang diusahakan pasangan asnaf berkenaan.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 2021, NGO kami bermatlamat untuk membantu pihak kerajaan dalam memperkasakan golongan asnaf di peringkat komuniti kecil melalui pelbagai aktiviti termasuk bimbingan kerjaya, peningkatan taraf hidup dan sebagainya.
“Jadi kami dalam usaha mencari lebih ramai asnaf lain yang berminat dalam aktiviti pertanian untuk menambah baik kehidupan sebagaimana yang sedang diusahakan Abdul Aziz dan Ramlah,” jelasnya.
Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, Perak SADC dan Jabatan Pertanian masing-masing memainkan peranan di bawah salah satu ‘flagship’ iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia atau Sekuriti Makanan serta, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Usahawan bumiputera perlu dilengkapi ilmu, mahir urus kewangan