Zie Putu Perak: Dari tin susu kini guna teknologi canggih

BERMULA berniaga secara kecil-kecilan menghasilkan kuih warisan tradisional Putu Perak untuk menambah pendapatan keluarga, kini nama Fauzila Haron, 49, cukup sinonim menerusi jenama Zie Putu Perak.

Pengusaha Putu Perak itu mewarisi resipi pembuatan kuih tersebut daripada ibunya sejak tahun 1991 di kampung halaman mereka di Chenderong Balai, Teluk Intan.

Pada zaman dahulu, kuih yang pernah dikenali dengan nama putu cawan itu dikukus menggunakan tin susu.

Bagaimanapun, selari dengan peredaran masa, proses penghasilan Putu Perak kini dijalankan di kilang menggunakan peralatan serta mesin canggih serta hasilnya masih sama seperti zaman dahulu.

Zie Putu Perak bantu tambah pendapatan asnaf, ibu tunggal
Pekerja Zie Putu Perak menimbang tepung putu Perak yang sudah dibancuh di kilang Kawasan Perindustrian Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JANUARI 2024.

Zie Putu Perak mula dikenali di RnR Ulu Bernam

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, pada mulanya beliau menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2008 bagi mempromosikan kuih tersebut.

“Ketika menyertai pameran itu ramai yang ingin mencuba perniagaan Putu Perak ini dan dari situ kita cuba komersialkan.

“Daripada situ, saya pun membuka kiosk di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ulu Bernam dari tahun 2009 dan memasak Putu Perak secara langsung di hadapan pelanggan.

“Kita turut menyediakan risalah kepada mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan ini,” katanya.

Selepas itu, beliau berkata, Putu Perak dijemput untuk ‘beraksi’ di Rumah Perak di MAHA pada tahun 2016, 2018 dan 2022.

“InshaALLAH tahun ini mungkin kami akan menyertai MAHA dan bekerjasama dengan ejen. Ini kerana bukan saya sahaja yang menyertai pameran tetapi kita beri peluang kepada ejen untuk menyertainya,” jelasnya.

Zie Putu Perak bantu tambah pendapatan asnaf, ibu tunggal
Pengusaha Zie Putu Perak, Fauzila Haron, 49, menunjukkan putu Perak yang siap dikukus di kilangnya Kawasan Perindustrian Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JANUARI 2024.

Lebih 100 ejen bantu majukan Putu Perak

Dalam pada itu, Fauzila berkata, sepanjang menjalankan perniagaan ini, lebih 100 ejen menyertai Zie Putu Perak di seluruh negara sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Menurutnya, rata-rata ejen terdiri daripada golongan asnaf dan ibu tunggal yang menyertai perniagaan ini berhasrat untuk menambah pendapatan mereka.

“Bagi memulakan perniagaan ini, kita ada sediakan pakej serendah RM2,000 tetapi ada dalam kalangan mereka yang tiada modal.

“Jadi, saya cari jalan untuk bantu dengan menjalankan projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) pada tahun 2020.

“Kita cuba cari jalan untuk membantu peniaga memulakan perniagaan tanpa memerlukan mereka mengeluarkan modal tetapi ada syarat-syarat untuk peniaga dan kita hantar kertas cadangan kepada kementerian bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Zie Putu Perak bantu tambah pendapatan asnaf, ibu tunggal
Pengusaha Zie Putu Perak, Fauzila Haron, 49, memantau pekerjanya mengisar bancuhan tepung putu Perak di kilangnya Kawasan Perindustrian Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JANUARI 2024.

Terpaksa tutup kilang namun bangkit semula

Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menjalankan perniagaan tersebut, Fauzila berkata, kilangnya terpaksa menghentikan operasi sewaktu Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata, walaupun kilangnya mendapat kebenaranberoperasi daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tetapi disebabkan majoriti ejen adalah peniaga kecil-kecilan, ia terpaksa ditutup bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

“Walaupun kilang mendapat kebenaran daripada MITI untuk beroperasi tetapi kita ambil pendekatan untuk tutup, kalau terus beroperasi tiada pelanggan beli,” ujarnya.

Bagaimanapun, Fauzila berkata, selepas terkesan dari tahun 2020 hingga 2023 akibat Covid-19, kini perniagaan Putu Perak telah bangkit semula.

“Seperti saya katakan, bukan senang untuk memperkenalkan kuih dari Perak ini kepada orang luar tetapi usaha yang tidak pernah berhenti selama berpuluh tahun akhirnya menampakkan hasil.

“Kita juga ada gerai di Kellie’s Castle iaitu kawasan tumpuan pelancong dan kita berpeluang memperkenalkan kuih tradisional Perak di situ,” jelasnya.

Tambahnya, peranan media massa sama ada melalui media cetak mahupun eletronik secara tidak langsung memperkenalkan Zie Putu Perak kepada orang ramai.

“Antara ejen paling lama dan selalu diketengahkan adalah Pakcik Ali yang sudah 13 tahun bersama kita,” katanya.

Zie Putu Perak bantu tambah pendapatan asnaf, ibu tunggal
Tepung segera Zie Putu Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JANUARI 2024.

Agensi kerajaan turut bantu

Sementara itu, beliau berkata, pelbagai agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak banyak membantunya sehingga Putu Perak mula dikenali ramai.

“Bermula daripada Jabatan Pertanian dan Amanah Ikhtiar Malaysia disusuli bantuan dari agensi kerajaan negeri, mungkin saya bukan di kedudukan sekarang.

“Agensi seperti Tourism Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selalu membawa kami menyertai pameran-pameran dalam dan luar negara bagi membantu usahawan seperti saya yang bernaung di bawah pelan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya,

Jelasnya, antara agensi kerajaan lain yang turut membantu menaikkan Putu Perak termasuklah Lembaga Pertubuhan Peladang, Tekun Nasional, Mara, Pernas, PUNB dan Sirim.

Katanya, dalam masa beberapa tahun kilangnya akan memasarkan produk tersebut dalam bentuk sejuk beku ke luar negara.

“Kita memang ada perancangan untuk meluaskan lagi pasaran kuih ini ke luar negara.

“Sehubungan itu, syarikat kami, Zies Taste Manufacturing (M) Sdn Bhd sedang melengkapkan dokumentasi bagi mendapatkan semua piawaian yang diperlukan untuk mencapai hasrat berkenaan,” jelasnya.

Zie Putu Perak bantu tambah pendapatan asnaf, ibu tunggal
Pekerja Zie Putu Perak ketika proses penyediaan tepung putu Perak di Kawasan Perindustrian Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JANUARI 2024.

Niat bantu asnaf, ibu tunggal

Berstatus ibu tunggal tidak menghalangnya untuk menjalankan perniagaan tersebut malah terus berusaha memajukan asnaf dan golongan sasaran supaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Untuk memajukan golongan asnaf bukan perkara mudah, walaupun kita dapat bantuan peralatan daripada kerajaan dan kita beri latihan untuk mereka kekal sendiri dalam bidang ini agak sukar.

“Saya akan membantu mereka mengikut kemampuan untuk bina kehidupan mereka sedia ada.

“Kalau kita dah bantu sehingga yang termampu namun jika mereka tidak terus berusaha sendiri kita tak boleh buat apa,” katanya.

Justeru, beliau berharap mereka yang diberi peluang untuk menjalankan perniagaan ini memanfaatkan sebaik mungkin bagi membangunkan kehidupan harian masing-masing ke arah lebih baik. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pekasam ikan loma permata Gerik

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI