Usahawan bumiputera perlu dilengkapi ilmu, mahir urus kewangan

KEGHAIRAHAN segelintir usahawan bumiputera yang berpotensi besar tetapi gagal membuat perancangan kewangan dengan baik menyebabkan ada yang terpaksa gulung tikar.

Golongan usahawan seperti ini sering menonjolkan kemewahan di media sosial, tetapi apabila masalah kewangan menimpa, mereka tiada aset yang boleh dicairkan untuk menampung perbelanjaan syarikat.

Justeru, amat penting usahawan bumiputera melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan khususnya berkaitan pengurusan kewangan supaya perniagaan mereka dapat diuruskan dengan lebih teratur.

Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, ilmu tersebut penting bagi memastikan perniagaan yang diusahakan usahawan terbabit mampu berkembang luas.

Beliau berkata, mengikut pengalaman yang pernah dilaluinya, terdapat usahawan yang gagal memanfaatkan bantuan kewangan daripada kerajaan dengan baik sehingga mereka tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut.

“Kegagalan usahawan adalah disebabkan mereka kekurangan ilmu dan tidak mengetahui perkara asas yang perlu dilaksanakan dalam perniagaan.

“Kebanyakan usahawan tidak tahu perkara asas kewangan seperti sinking fund (kecemasan) dan floating fund (simpanan).

“Jika perkara asas seperti ini mereka tidak tahu, perniagaan akan berdepan masalah,” katanya ketika ditemui MG Perak.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat menetapkan syarat kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan supaya mengikuti program-program pengurusan kewangan bagi mengelakkan perniagaan mereka tidak terkandas di tengah jalan.

“Sehubungan itu, kita berharap kerajaan dapat menetapkan syarat tertentu sebelum meluluskan pinjaman supaya bantuan kewangan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mereka memperluaskan perniagaan,” jelasnya.

Sementara itu, Zahar meminta supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi pemudah cara kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan bukannya menjadi pesaing.

“GLC tidak seharusnya terlibat di dalam perniagaan. Apabila GLC tubuh syarikat, mereka akan ‘bunuh’ usahawan kecil ini.

“Usahawan ini tak banyak modal tetap GLC ini ada berjuta ringgit modal. Apabila syarikat usahawan ini tidak mampu bersaing, mereka akan beli perniagaan usahawan ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap GLC sedia ada supaya kembali kepada asas penubuhan mereka iaitu membantu usahawan-usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih jauh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemansuhan Skor TP perlihat kesediaan KPM terima pandangan – Pakar

 

 

 

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI