Pemansuhan Skor TP perlihat kesediaan KPM terima pandangan – Pakar

PERTUKARAN pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran murid di sekolah kepada bentuk peratus dan gred boleh dianggap sebagai langkah efektif yang diambil Kementerian Pendidikan (KPM).

Ini kerana, pengumuman yang dibuat oleh Menterinya, Fadhlina Sidek dilihat mampu meredakan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan ibu bapa pelajar berkaitan pentaksiran di sekolah.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Azli Ariffin berkata, langkah berkenaan memperlihatkan kesediaan dan keprihatinan KPM dalam menerima pandangan dan cadangan pelbagai pihak dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Menurut beliau, keputusan mesra dan positif yang diambil KPM diharap dapat membantu pihak sekolah serta ibu bapa pelajar khususnya untuk menyediakan satu bentuk pelaporan yang boleh difahami.

Ujar beliau selain itu ia juga perlu dijadikan sebagai satu alat penilaian dan panduan kepada ibu bapa dalam mengenal pasti tahap pencapaian anak-anak mereka di sekolah.

“Bagaimanapun harus diingatkan bahawa perubahan yang dilakukan KPM itu hanyalah melibatkan kepada penilaian UASA murid tahap dua sekolah rendah dan menengah sahaja.

“Dan saya bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan bahawa penggunaan TP masih digunapakai dalam pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) namun, bagi pelaporan UASA ia dikeluarkan dalam bentuk peratus dan gred,” katanya.

Mengulas lanjut, Azli berkata, guru-guru serta bapa perlu benar-benar memahami hasrat KPM dalam usaha memastikan bentuk penilaian sistem pendidikan negara yang lebih kepada usaha mengenalpasti tahap penguasaan potensi berbanding dengan mengukur tahap pencapaian.

Ujar beliau, UASA hanyalah sekadar menyediakan satu bentuk pelaporan yang lebih memfokuskan kepada tahap penguasaan intelek atau kognitif murid semata-mata.

“Sedangkan umum tidak mahu anak-anak yang kurang kemampuan dan potensi dalam sesuatu mata pelajaran dilabel sebagai pelajar yang gagal secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, guru dan ibu bapa perlu benar-benar memahami hasrat KPM dalam memastikan perkembangan secara menyeluruh, seimbang harmoni murid-murid akan dicapai seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pelaporan tahap penguasaan UASA bagi semua mata pelajaran murid di sekolah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred bermula sesi persekolahan 2024/2025.

Fadhlina berkata, berbanding sebelum ini, skor setiap mata pelajaran bagi UASA dipaparkan dalam bentuk tahap penguasaan (TP) iaitu antara 1 hingga 6.

Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan pelaporan TP sebelum ini. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI