IPOH – Program Jelajah Yakin anjuran Unit Komunikasi Strategik (STRATCOMM) Perak diadakan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai inisiatif kerajaan negeri termasuk agenda Pelan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Yakin yang merupakan singkatan kepada Yakini Kejayaan Inisiatif Negeri juga memberi penerangan secara langsung kepada orang ramai mengenai usaha dan perancangan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
Menurutnya, program itu turut memberi penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), khususnya dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja.
“Ini penganjurnya STRATCOMM. Dia buat roadshow (jelajah) ke seluruh negerilah. Dia (STRATCOMM) akan turun untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai tentang apa yang kerajaan negeri sedang buat terutamanya berkaitan dengan TVET.

“Sebab bila cakap tentang pembangunan, kita nak bagi tahu pada orang ramai bahawa kita perlukan tenaga muda untuk mengisi kekosongan. Jadi itu sebahagian daripada tugas yang dibuatlah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Jelajah Yakin 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Katanya, pendekatan turun padang melalui program berkenaan dilihat penting dalam memastikan maklumat sampai kepada masyarakat secara lebih berkesan, selain menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja mahir. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


