BATU GAJAH – Kira-kira 200 gerai di Pasar Malam Jalan Pandak Akhat di sini, bertukar wajah dengan hiasan Jalur Gemilang, sekali gus memeriahkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan Ke-69.
Inisiatif yang dianjurkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) itu merupakan usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar malam berkenaan.
Presiden PPKMP, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, penyertaan yang diterima daripada peniaga pasar malam tersebut amat menggalakkan sehingga pihak persatuan mengambil inisiatif menyediakan hadiah bagi gerai yang menampilkan hiasan terbaik.
“Sebanyak 200 peniaga mengibarkan bendera di setiap gerai dan semuanya adalah inisiatif peniaga sendiri.
“Kita menyediakan hadiah untuk mereka dan sambutan yang diterima sangat baik serta positif,” katanya ketika ditemui pada Program Semangat Merdeka dan Kempen Pasar Malam Hijau di Pasar Malam Jalan Pandak Akhat, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang yang turut menyampaikan bendera serta apron kepada peniaga dan pengunjung pasar malam tersebut.

Dalam pada itu Alfirzamunira berkata, pihak persatuan turut merancang mengadakan program sama di pasar malam lain di bawah kendaliannya termasuk program pada 16 September depan.
Beliau berkata, sambutan Bulan Kebangsaan menerusi penglibatan peniaga secara langsung bukan sahaja memeriahkan suasana pasar malam, malah dapat memupuk rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Steven berkata, usaha PPKMP itu menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan peniaga dan masyarakat setempat.
Katanya, beliau bersama jawatankuasa PPKMP turun padang mengunjungi setiap gerai bagi menyerahkan Jalur Gemilang dan apron kepada kira-kira 200 peniaga di pasar malam berkenaan.
“Apabila kita turun ke padang, kita dapat merasakan tidak kira sama ada Cina, India atau Melayu, semuanya sebagai rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan semangat kemerdekaan.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama dapat bersama-sama menjaga nama baik negara,” katanya.
Menurutnya, Pasar Malam Batu Gajah yang mempunyai kira-kira 200 gerai itu turut menjadi antara pasar malam yang mendapat sambutan baik di daerah berkenaan.
Beliau berkata, pasar malam itu menawarkan pelbagai juadah popular termasuk yong tau fu, bomboloni, sate dan sushi, sekali gus menjadi antara tarikan kepada pengunjung.
“Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Kemerdekaan kepada semua pengunjung dan menjemput khususnya masyarakat dari kawasan sekitar Batu Gajah untuk datang memeriahkan pasar malam ini,” katanya. -MG Perak


