Pasar mini kantoi sorok gula, minyak masak paket

IPOH – Sebanyak  90 kilogram (kg) minyak masak paket dan 216kg gula pasir kasar dirampas, dipercayai cuba disorok sebuah pasar mini di Taman Sejahtera Jaya, Kampar, pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan ke atas semua barangan bersubsidi yang dianggarkan bernilai sekitar RM840 itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

Susulan itu, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak melakukan uji beli di premis tersebut menerusi Ops Samar yang dilakukan sekitar jam 10.15 pagi.

Menurutnya, pekerja pasar mini turut memaklumkan bahawa minyak masak peket 1kg tiada di premis ketika anggota penguat kuasa melakukan uji beli.

“Curiga dengan kenyataan pekerja itu, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas pasar mini tersebut dengan dihadiri oleh seorang wanita berumur 48 tahun yang disyaki pemilik premis.

“Hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah minyak masak paket 1kg dan gula pasir kasar jenis 1kg yang disembunyikan di dalam premis.

“Pemilik premis juga gagal memberikan penjelasan mengapa barang kawalan tersebut tidak dijual apabila diminta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan sitaan telah dilakukan ke atas kesemua barangan bersubsidi itu, salinan lesen runcit barang kawalan, salinan lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan salinan lesen Majlis (PBT) serta dokumen urusniaga yang berkaitan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran Pengawal atau mana-mana pengawal bekalan yang diberi kuasa oleh Pengawal secara bertulis. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Peniaga sorok dan jual minyak masak paket kepada warga asing

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI