Pelaburan BYD: Lonjakan strategik untuk Tanjung Malim

IPOH – Pelaburan syarikat kenderaan elektrik (EV) global, BYD Company Limited (BYD) di Tanjung Malim perlu dilihat dalam konteks lebih besar, bukan sekadar satu projek, tetapi sebagai langkah strategik negeri dalam membina masa depan industri automotif berteknologi tinggi di Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin berkata, kronologi projek ini jelas bahawa pelaburan bukan datang secara kebetulan, tetapi hasil usaha tersusun dan bersungguh-sungguh kerajaan negeri melalui InvestPerak bersama agensi berkaitan.

Menurutnya, Daerah Muallim dipilih kerana kekuatan ekosistem kita sebagai Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang lengkap dengan rantaian bekalan automotif.

“Kerajaan negeri bukan sekadar menunggu tetapi bertindak pantas malah projek ini diberikan laluan ‘fast-track’, kelulusan dipercepatkan, dan pelbagai penyelarasan dibuat dalam tempoh masa yang singkat. Ini menunjukkan kesungguhan sebenar negeri dalam menarik pelaburan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Salina menegaskan bahawa kehadiran BYD bukan sekadar sebuah kilang tetapi berpotensi menjadi ‘anchor tenant’ yang akan menarik lebih banyak vendor, mewujudkan peluang pekerjaan mahir, serta membuka ruang kepada vendor tempatan untuk masuk ke dalam rantaian bekalan global.

“Behrang sendiri melihat perubahan ini, daripada sebelum pergi haji kawasan ini masih ladang sawit, bila balik ke tanah air sudah mula bertukar wajah menjadi kawasan industri. Ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi perubahan masa depan ekonomi anak-anak kita di Muallim.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kebimbangan kerajaan pusat terhadap industri automotif tempatan.

“Tetapi dengan persaingan yang sihat seperti ini, ia sebenarnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti, inovasi dan daya saing kereta nasional kita.

“BYD sendiri memfokuskan kepada segmen EV dan tidak secara langsung bersaing dengan kereta nasional, malah membuka ruang kolaborasi teknologi dan pembangunan bakat tempatan.

“Sehubungan itu, Behrang berharap supaya Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dapat mempertimbangkan secara tuntas dan merealisasikan projek ini dengan segera,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Selatan Perak berkembang sebagai hab automotif, keperluan perumahan meningkat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI