IPOH – Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian pelarasan pencen sebanyak tujuh peratus dengan mengambil kira kadar pencen semasa, bukannya pencen permulaan bagi memastikan pesara menerima penambahbaikan yang sewajarnya.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pelarasan itu perlu ditambah baik memandangkan keadaan ekonomi semasa selain memberi kesan minimum kepada pesara yang menerima pencen rendah.
Menurutnya, pendekatan tersebut menyebabkan sebahagian pesara terus berdepan tekanan kos sara hidup dan peningkatan kos perubatan walaupun menerima pelarasan pencen.
“Kami telah semak, pemberian (pencen) tujuh dan lapan peratus itu dibuat berdasarkan pencen permulaan. Memang ada pesara yang pencennya kecil, jadi ia tidak boleh menampung risiko kos sara hidup mereka.
“Sebab itu kita minta pihak berkenaan mengkaji semula. Pemberian itu mestilah berdasarkan pencen semasa, bukan pencen permulaan dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam KUPEKMAS sempena Hari Pesara 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini malam tadi.
Majlis tersebut telah dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Dalam pada itu, Omar turut menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan pesara menjelang 2027 sekiranya tiada lagi pelarasan pencen diberikan, sedangkan kos sara hidup dan kos perubatan dijangka terus meningkat.

Justeru, beliau memaklumkan satu kertas kerja sedang disiapkan oleh pertubuhan tersebut memandangkan pihaknya adalah peneraju utama bagi menangani isu kewangan dan kebajikan yang membelenggu pesara terdiri daripada warga emas.
Tambahnya, kertas kerja itu akan merangkumi tuntutan untuk mewujudkan kembali kenaikan tahunan tetap pencen sebanyak dua peratus yang dibatalkan oleh mahkamah sebelum ini serta menuntut kajian semula pembayaran tujuh peratus berdasarkan kadar pencen semasa bagi mengurangkan tekanan kewangan pesara.
“Kita bimbang menjelang 2027 pesara tidak ada lagi kenaikan. Walaupun kos sara hidup dan kos perubatan naik, pencen penjawat awam seolah-olah tiada perubahan dan akan rasa tertekan sedikit disebabkan kos perubatan itu. Ini antara perjuangan kami dan kami harap kerajaan dapat mengkaji semula tuntutan kami ini,” ujarnya.
Pada masa sama, Omar turut berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap keperluan penjagaan kesihatan pesara memandangkan kebanyakan mereka berada pada fasa usia emas yang memerlukan rawatan lebih kerap.
Selain itu, beliau memohon supaya kemudahan wad untuk pesara dipertingkatkan serta persediaan rapi dibuat bagi menghadapi pertambahan bilangan warga emas pada masa hadapan.
“Kita harap kerajaan faham sekarang ini fasa pesara apabila sudah di penghujung usia, mereka banyak mengalami sakit. Kos perubatan tinggi dan untuk mendapatkan wad di hospital pun lambat kerana kekurangan doktor.
“Pesara terpaksa menanggung beban itu. Jika masuk wad pun, belum tentu dapat wad kelas yang sepatutnya, selalunya duduk di wad biasa dahulu. Sebab itu kita minta kerajaan memperbanyakkan wad untuk pesara.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu berbincang dengan kami untuk memahami rintihan pesara. Kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat, dan pesara adalah rakyat, pengguna, serta penyokong ’government of the day’,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak peruntuk lebih RM1.37 juta insentif untuk 324 pesara kerajaan


