Pemandu maut tersepit dalam nahas dengan treler

TELUK INTAN – Seorang lelaki maut tersepit selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah treler tanpa muatan di Batu 11, di sini, pada Sabtu.

Dalam nahas itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Firdaus Hassan berusia 39 tahun disahkan meninggal di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari.

Katanya, susulan itu seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor kemudiannya diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah treler tanpa muatan jenis Hino dan sebuah kereta jenis Proton Waja.

“Dalam kejadian itu, terdapat seorang mangsa lelaki yang tersepit di bahagian pemandu kereta,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, pasukan bomba melaksanakan operasi membawa mangsa keluar dari bangkai kenderaan terbabit dengan menggunakan peralatan hidraulik.

“Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Fakrul Razman Mat Zin itu tamat pada jam 2.50 petang. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak maut di Jambatan Victoria: Polis buka kertas siasatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI