Pembangunan negeri seimbang, fokus ekonomi bernilai tinggi – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani terus memastikan pembangunan antara negeri dilaksanakan secara seimbang berdasarkan keperluan rakyat, selain memperkukuh sektor ekonomi baharu seperti semikonduktor, data center dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pertumbuhan negara kekal berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tuntutan perkongsian hasil antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus dirunding secara terbuka dengan mengambil kira prinsip keadilan, semangat perpaduan serta keperluan pembangunan setiap negeri.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan kepada negeri-negeri tertentu bukan bermaksud wujud layanan berbeza, sebaliknya mengambil kira projek kritikal yang memerlukan tindakan segera termasuk infrastruktur asas, tebatan banjir, kemudahan awam dan pembangunan kawasan pedalaman.

“Kalau ikut unjuran biasa mungkin siap lima hingga 10 tahun lagi. Tetapi ada sekolah, infrastruktur dan kemudahan rakyat yang memerlukan perhatian segera,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, negeri seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak menerima perhatian khusus berikutan keperluan pembangunan yang mendesak termasuk projek tebatan banjir, jalan raya, prasarana asas serta kemudahan rakyat.

Katanya, pendekatan kerajaan bukan hanya melihat kepada jumlah hasil yang dikutip, sebaliknya memastikan jurang pembangunan antara negeri dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kawasan strategik yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara termasuk Johor yang bersempadan dengan Singapura menerusi pembangunan zon ekonomi khas dan kerjasama ekonomi rentas sempadan.

Selain Johor, beberapa kawasan lain seperti Kuching di Sarawak, Sabah serta Kerian di Perak Utara turut diberi perhatian berdasarkan potensi ekonomi dan kelebihan masing-masing.

“Johor, Singapura dan Special Economic Zone (SEZ) adalah antara kawasan pembangunan strategik. Begitu juga Kuching dan Sabah yang mempunyai potensi besar untuk berkembang,” katanya.

Mengulas mengenai ekonomi bernilai tinggi, Anwar berkata, Malaysia kini mampu bertahan dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global hasil pertumbuhan sektor baharu termasuk tenaga, semikonduktor, data center dan AI.

Katanya, Sarawak misalnya menunjukkan perkembangan positif dalam sektor teknologi termasuk data center, teknologi maklumat serta industri berkaitan pembuatan cip melalui kerjasama dengan kepakaran antarabangsa.

“Ini yang menyebabkan kita dapat bertahan dalam keadaan gelombang dan ketidaktentuan ekonomi yang berlaku. Pertumbuhan dalam sektor tenaga, semikonduktor, data center dan AI membantu mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa bukan hanya hasil usaha kerajaan, tetapi turut melibatkan peranan penjawat awam yang lebih cekap serta sektor swasta yang menekankan inovasi dan penggunaan teknologi baharu.

Katanya, kerajaan akan terus memastikan pembangunan ekonomi negara bergerak secara inklusif supaya manfaat pertumbuhan dapat dirasai rakyat di semua negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI