Pendidikan pelaburan terbaik masa depan – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – Seramai 38 pelajar daripada dua buah sekolah menengah di daerah ini menerima Insentif Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan.

Dua buah sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari dan SMK Tun Abdul Razak.

Selain itu, tiga anak Bagan Datuk turut berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiah dan Usuluddin, manakala 23 pelajar lagi menerima Dana Ehsan Pendidikan YPM.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluahkan rasa gembira melihat pencapaian cemerlang anak-anak di daerah tersebut dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, kejayaan yang diraih bukan sahaja membanggakan ibu bapa dan warga Bagan Datuk, malah menjadi bukti bahawa pelaburan berterusan dalam pendidikan mampu melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berpotensi memacu pembangunan negara pada masa hadapan.

“Tiada kegembiraan yang lebih besar bagi saya selain melihat anak-anak Bagan Datuk terus melakar kejayaan dalam bidang pendidikan.

”Bagi saya, kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Bagan Datuk mempunyai potensi yang besar apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.

“Saya sentiasa percaya bahawa pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk mengubah kehidupan dan membina masa depan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan, Desa dan Wilayah menasihatkan ibu bapa supaya terus menjadi pembakar semangat kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat terus menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi.

“Kepada para ibu bapa, teruslah menjadi kekuatan dan pendorong kepada anak-anak dalam mengejar ilmu.

“InshaAllah, saya mahu melihat lebih ramai lagi anak Bagan Datuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara, sebelum kembali menabur bakti demi kemajuan daerah yang kita cintai ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua penerima. Teruskanlah melakar kejayaan dan mengharumkan nama Bagan Datuk,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM180,000 disalurkan bantu pendidikan komuniti India Parlimen Bagan Datuk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI