Bawa pisau masuk stadium, pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah

IPOH – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas pertuduhan membawa sebilah pisau ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Khamis lalu.

Tertuduh, Azrul Faiz Mohd Rosli, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau di dalam beg pinggang berwarna hitam bertempat di Pintu Masuk B, Stadium Indera Mulia, Kompleks Sukan di sini, lebih kurang jam 8.45 malam pada 19 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin, manakala tertuduh pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Disember depan.

Terdahulu, pihak pendakwa menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Sementara itu, pihak pembelaan memohon tertuduh dibebaskan dengan jaminan paling minimum ekoran tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan sedang mengandung anak keempat termasuk tiga lagi anak berusia antara setahun hingga tujuh tahun termasuk ibu bapanya.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan JDT di Stadium Perak, Khamis lalu.

Seorang daripada penyokong terbabit telah dihukum denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, pada Jumaat lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu mengaku bersalah selepas didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas pegawai polis. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki ditahan semasa perlawanan Perak FC vs JDT

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI