Dua lelaki ditahan semasa perlawanan Perak FC vs JDT

IPOH – Polis menahan dua lelaki berasingan selepas didapati menghalang tugas pegawai polis serta membawa sebilah pisau pendek semasa Perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, salah seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan pada jam 11.15 malam kerana menghalang tugas dan mengeluarkan kata- kata kesat terhadap pegawai polis bertugas.

Menurutnya penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

“Ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapati positif dadah jenis ganja (THP). Tangkapan ini telah dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaandi Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 oleh mahkamah setelah tangkapan mengaku salah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu ujarnya, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun telah ditahan di Pintu B Stadium Perak, pada jam 8.46 malam selepas didapati membawa pisau pendek.

Katanya penahanan itu dibuat semasa pemeriksaan keselamatan oleh pihak polis di pintu berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Tangkapan ini telah diluluskan perintah tahanan reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh bermula 20 oktober untuk siasatan lanjut.

“Pihak siasatan telah memperolehi arahan pertuduhan terhadap tangkapan ini daripada Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh, pada 23 oktober,” jelasnya.

Di samping itu, Yahaya mengingatkan agar orang ramai untuk tidak membawa sebarang senjata berbahaya atau bahan letupan semasa menyaksikan perlawanan bola sepak.

Menurutnya ia ada kesalahan di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara lima ke 10 tahun, dan sebatan. – MG Perak

BACA SETERUSNYA:

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI