Separuh akhir Piala Malaysia: Penyokong diminta jaga kelakuan

IPOH – Penonton dinasihatkan sentiasa berkelakukan baik sepanjang menyaksikan perlawanan saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak di sini, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata sama ada penyokong tuan rumah atau pasukan lawan, mereka dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa seperti pihak polis.

“Para penyokong atau penonton perlu mematuhi segala arahan pasukan keselamatan kerana kita tidak mahu ada sebarang isu atau perkara yang menyebabkan keadaan tidak ceria (harmoni) berlaku seperti pergaduhan atau rusuhan (dalam kalangan mereka).

“Ini kerana matlamat kita adalah hendak menyaksikan permainan yang menarik antara kedua-dua pasukan, dan seharusnya para penyokong tidak melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan atau larangan khususnya daripada pihak polis.

“Saya menyarankan agar mereka yang menyaksikan perlawanan malam ini untuk memberi kerjasama dengan berkelakukan positif dengan semangat kesukanan yang tinggi dalam memastikan kemajuan sukan bola sepak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sehari Bersama Wira Negara anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru dekat sini pada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak Khairudin Abu Hanipah menyantuni pelajar sekolah pada Program Sehari Bersama Wira Negara di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 OKTOBER 2023

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz serta Presiden Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Dr Ahmad Jelani Halimi.

Pada program itu, turut diadakan sesi Bicara Tokoh melibatkan dua panel iaitu Bekas Juruterbang Helikopter Nuri, Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman serta Penulis Buku, Radzi Sapiee, dan dikendalikan moderator, Pensyarah Unit Pengajian Umum UNIKL RCMP, Ibrahim Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan seramai 397 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara skuad The Bos Gaurus dan Harimau Selatan malam ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, bagi memastikan tiada insiden luar jangka tercetus, kawalan ketat akan dilakukan bagi menjamin keselamatan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan.

Selepas perlawanan pada malam ini, pasukan Perak dijadual berhadapan perlawanan timbal balik dengan pasukan JDT pada 2 November depan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Pada April 2014, berlaku pergaduhan besar membabitkan penyokong kedua-dua pasukan tercetus di luar perkarangan Stadium Perak dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT.

Insiden berkenaan kembali berulang pada Ogos 2016 apabila The Bos Gaurus sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan ia turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media. -MG Perak

 

BACA SETERUSNYA: Penyokong tegar Perak FC pilih tiket fizikal

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI