Penyokong tegar Perak FC pilih tiket fizikal

IPOH – Walaupun tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dijual secara dalam talian (online), masih ada penyokong tegar yang datang ke Stadium Perak, di sini untuk membeli tiket fizikal.

Tinjauan MalaysiaGazette petang tadi mendapati tidak ramai yang berbaris untuk mendapatkan tiket fizikal mungkin disebabkan mereka lebih cenderung berurus niaga secara online kerana lebih mudah dan cepat.

Seorang penyokong The Boss Gaurus, Khaireel Helmy Ismail, 42, dari Ipoh berkata dia memang membeli tiket fizikal kerana suka memegang tiket fizikal berbanding membelinya secara online.

“Saya suka pegang tiket fizikal malah ada menyimpan koleksi tiket untuk game besar.

“Hari ini saya membeli 10 tiket untuk keluarga, abang di Manjung dan rakan sekerja,” katanya yang menjangkakan keputusan perlawanan esok seri 1-1.

Simpan tiket fizikal buat koleksi
Penyokong Perak FC menunjukkan tiket fizikal yang dibelinya di Stadium Perak hari ini.

Zulhelmi Oshman, 27, dari Taiping pula berkata, dia sanggup ke Ipoh semata-mata untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan itu.

Dia bersama seorang lagi rakan dari Kuala Kangsar datang ke kaunter untuk membeli tiket fizikal memandangkan mereka tidak mempunyai akaun perbankan dalam talian (online banking).

“Kami datang Ipoh untuk beli tiket sebab kami tiada online banking. Lepas ini saya dan rakan akan balik semula rumah masing-masing dan datang semula ke Ipoh untuk menonton perlawanan itu esok,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Rabu.

Sementara itu, hantaran TBG Super Fan di laman Facebooknya menyatakan setakat ini sudah 12,000 tiket dijual secara online dan fizikal bagi perlawanan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, pihaknya menyasarkan 25,000 tiket akan terjual kepada penyokong kedua-dua pasukan sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Katanya, walaupun kapasiti stadium boleh memuatkan maksimum 28,000 penyokong, atas faktor keselamatan pihaknya hanya sediakan sekitar 25,000 tiket. – MG Perak

VIDEO BERKAITAN:

MGPerak: Simpan Tiket Fizikal Buat Koleksi

MGPerak: Simpan Tiket Fizikal Buat Koleksi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI