Pengumuman PM isyarat jelas LRA Kerian bakal dipercepatkan

IPOH – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Negeri Perak bersetuju membekalkan air ke Pulau Pinang memberi isyarat bahawa pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian dapat dipercepatkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara yang dimumkan Perdana Menteri itu merupakan berita baik memandangkan kerajaan negeri menjangkakan pembinaan LRA mungkin memakan masa yang lama.

“Dengan pengumuman Perdana Menteri itu bermakna LRA di Daerah Kerian dapat disegerakan dan seperti yang saya sebut sebelum ini, ia diperkuatkan lagi oleh Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian atau KIGIP.

“Ini kerana bila kita membangunkan KIGIP yang merupakan taman perindustrian kita perlu banyak air yang banyak, jadi kerana itu saya kata ia serampang tiga mata.

“Antaranya adalah membekalkan air kepada petani di Kerian, kemudian bagi tujuan KIGIP dan akhir sekali menjual air terawat kepada Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada sidang media Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 6 MAY 2024.

Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak telah membuat persiapan untuk memindahkan air dari Sungai Perak ke Kerian dan projek pembinaan LRA akan segera dimulakan sebaik menerima peruntukkan tersebut.

“Permohonan diminta untuk (RP) Rolling Plan seterusnya dari Kerajaan Persekutuan dan akan dibincangkan perkara selanjutnya selepas ini.

“Proses ini mengambil masa tetapi yang paling penting Pulau Pinang memerlukan air pada tahun 2030 dan kita tiada masalah melainkan kerajaan Persekutuan bersedia menyalurkan peruntukan.

“Kita bersedia untuk memudahkan segala apa yang diperlukan dan segala kemudahan tiada masalah kerana kita memang sudah buat persiapan untuk memindahkan air ke Kerian,” katanya.

Anwar pada Ahad mengumumkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Saarani telah bersetuju untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Perak.

Beliau berkata, pembekalan itu akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian sehingga ke kawasan Seberang Perai.

Ujar Anwar, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

RM1.5 juta peruntukkan bangun telaga air bawah tanah LRA Gunung Semanggol

Rancangan buka industri teknologi tinggi Kerian bakal cepatkan projek LRA Utara Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI