Rancangan buka industri teknologi tinggi Kerian bakal cepatkan projek LRA Utara Perak

IPOH –  Rancangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 semalam akan mempercepatkan projek pembinaan loji rawatan air (LRA) di Utara Perak sebagaimana yang dicadangkan kerajaan negeri sebelum ini. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek pembinaan LRA itu dilihat penting kerana ia bagi menampung keperluan bekalan air baik untuk sektor industri mahupun pengairan kawasan-kawasan pertanian.

“Jika berlaku (pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi itu), ia akan mempercepatkan lagi proses yang sedang dibuat kerajaan negeri iaitu memohon peruntukan daripada Persekutuan untuk membangunkan projek LRA di Utara Perak. 

“Sekarang kita melihat ia adalah keperluan bagi keperluan untuk pengairan pertanian dan kegunaan untuk kawasan-kawasan industri yang memerlukan sumber air yang banyak. 

“Jadi maknanya, (dengan pengumuman Belanjawan 2024 semalam) ia akan mempercepatkan usaha kerajaan negeri untuk merealisasikan projek LRA di Utara Perak,” katanya. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama peserta acara larian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 OKTOBER 2023

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri, Nor Azah Ahmad Dahalan. 

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, bagi membina membina ekosistem lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara.

Menerusi Pembentangan Belanjawan 2024 itu, Anwar berkata pembukaan kawasan perindustrian baharu itu selepas kawasan Perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah telah menghimpunkan syarikat terkemuka dunia dalam sektor E&E.

Tanpa mendedahkan secara terperinci lokasi sebenar, Saarani berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebelum ini telah mengenal pasti kawasan seluas 100 ekar bagi projek berkenaan.

Walau bagaimanapun katanya susulan pengumuman perdana menteri itu semalam, menteri besar berkata kerajaan negeri berpandangan keluasan kawasan itu harus diperluaskan sehingga 1,000 ekar. 

“Pada peringkat awal, melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah PKNP sebelum ini kita mengenal pasti tanah seluas 100 ekar bagi projek berkenaan, namun susulan pengumuman itu semalam saya melihat ia memerlukan sekurang-kurangnya tanah seluas 1,000 ekar. 

“Saya tidak boleh menyatakan secara jelas lokasi itu, namun buat ketika ini kita akan melihat kedua-dua kawasan parlimen iaitu Parit Buntar dan Bagan Serai (untuk projek berkenaan,” jelasnya lagi. 

Sementara itu, ditanya berkenaan tempoh masa projek tersebut dilaksanakan, Saarani berkata, ia bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan Persekutuan  dan lokasi pembinaan projek berkenaan.

 “Sama ada ia melibatkan penambakan atau proses pengambilan tanah. Jika tanah kerajaan tidak mengapa, kalau tanah individu, perlu melalui beberapa proses.

“Apabila semua sudah selesai dan tanah pun sudah dikenal pasti, barulah kita akan mulakannya dan ia sudah tentu mengambil masa, tidak mungkin dalam tempoh setahun,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI