RM1.5 juta peruntukkan bangun telaga air bawah tanah LRA Gunung Semanggol

BAGAN SERAI – Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Perintis Pembangunan Telaga Pengeluaran Air Bawah Tanah dan Sistem Pengepaman untuk Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol, Kerian.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek itu melibatkan pembinaan dua telaga bermula September 2022 dan siap sepenuhnya pada Mac lepas.

“Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), telah melaksanakan pembinaan ini selain turut dibantu oleh Lembaga Air Perak (LAP), dari sudut pengoperasian rawatan air.

“Projek ini juga dilaksanakan sendiri oleh tenaga JMG bersama perkhidmatan perunding menerusi kajian awalan, pemetaan geologi dan hidrogeologi, tinjauan geofizik, pembinaan telaga eksplorasi, ujian kualiti air dan sebagainya bagi menentukan kebolehdapatan sumber air bawah tanah di loji-loji rawatan air itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Telaga Pengeluaran Air Bawah Tanah JMG kepada LAP, di LRA Gunung Semanggol, di sini, pada Isnin.

Projek perintis pembangunan sumber air bawah tanah berkenaan mula dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan peruntukan berjumlah RM33 juta selain melibatkan 19 LRA di seluruh Malaysia.

Mohammad Nizar berkata, kedua-dua telaga berkenaan mempunyai kedalaman melebihi 100 meter selain dapat mengeluarkan kapasiti air sekitar 2.5 juta liter sehari.

“Analisis yang dijalankan di LRA ini menunjukkan terdapatnya imbuhan air sekitar 106.1 juta liter sehari. Justeru, pembangunan air bawah tanah di sekitar kawasan ini adalah sangat berpotensi untuk dimajukan pada masa depan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pembinaan telaga berkenaan juga dilihat sebagai kaedah alternatif dalam menampung pembekalan air kepada pengguna khususnya di kawasan Kerian serta Larut Matang dan Selama.

“Telaga ini merupakan satu pendekatan alternatif yang dibangunkan bagi menyokong sumber air sedia ada melalui sungai. Ia juga dilihat berperanan dalam memastikan masalah bekalan air di kawasan ini diatasi terutama ketika berlaku fenomena El Nino,” katanya.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan: 

Rancangan buka industri teknologi tinggi Kerian bakal cepatkan projek LRA Utara Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI