Peniaga bazar Ramadan beri respon positif – Exco

KUALA KANGSAR – Rata-rata peniaga bazar Ramadan memberi respon positif terhadap jualan mereka pada tahun ini walaupun terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, tinjauan di beberapa bazar Ramadan di sekitar negeri ini mendapati maklum balas yang diterima daripada peniaga baik namun ia bergantung pada jenis jualan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, jika makanan yang dijual viral dan sedap sudah pasti pelanggan akan singgah ke gerai mereka serta jualan akan laris.

“Setakat ini, saya telah pergi ke beberapa bazar dan apabila bertanya kepada peniaga, respon mereka memaklumkan semuanya okey dan itu mungkin merujuk kepada hasil jualan.

“Saya tidak jumpa peniaga yang merungut susah dan yang berkaitan. Rata-rata beri respon, Alhamdulillah okey.

“Kalau yang viral pelanggan akan beratur panjang, sampai habis (juadah) maknanya ia juga bergantung kepada jenis dan bagaimana juadah itu disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani merasmikan Program Meriah Beraya, Sejahtera Bersama (MBSB) Tahun 2024  di Dewan Jubli Perak di sini pada Ahad.

Menyentuh berhubung rungutan pelanggan berhubung harga makanan di bazar Ramadan yang didakwa agak mahal, Salbiah berkata, harga makanan bergantung kepada kos barang yang dibeli.

“Dengan kenaikan harga barang sudah tentu peniaga terpaksa jual dengan harga sedikit tinggi dan tentulah pembeli akan terkesan.

“Menteri Besar selalu sebut kita ada pelbagai inisiatif antaranya Kedai Bergerak, Jualan Madani yang dapat membantu sedikit sebanyak dalam mengurangkan beban kos ditanggung peniaga.

“Bagaimanapun, itu belum dapat bantu kos keseluruhan kerana ada peniaga yang naikkan harga jualan sesuai dgn makanan yang mereka sediakan,” jelasnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Bazar Ramadan Rahmah tawar makanan bawah RM5

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI