KUALA LUMPUR – Sebanyak 17,421 kes penyakit jantung iskemik (IHD) direkodkan pada 2024 yang menyaksikan ia kekal sebagai punca utama kematian di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, diabetes dan hipertensi antara faktor utama yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular itu selain kolesterol tinggi dan obesiti.
Menurutnya, penyakit tidak berjangkit (NCD) kini menjadi antara cabaran utama kesihatan awam kerana bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan berusia malah turut membabitkan golongan muda.
“Rakyat Malaysia hari ini berdepan dengan pandemik NCDs (penyakit-penyakit tidak berjangkit), setelah kita ditinggalkan oleh penyakit berjangkit yang namanya COVID-19, NCD ini lebih mencabar sebenarnya.
“Ia merupakan satu ancaman besar kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat kerana NCD ini telah pun berlaku dalam kalangan golongan muda dan sering tidak disedari oleh penghidapnya kerana lazimnya ia tidak menunjukkan gejala atau simptom sehinggalah keadaan agak parah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, seramai 192,464 individu berusia 18 hingga 29 tahun menghidap diabetes, manakala 339,853 menghidap hipertensi menerusi apatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Menurut beliau, lebih lapan daripada 10 kes bagi kedua-dua penyakit itu masih belum diketahui atau didiagnosis.
Katanya, bagi kumpulan umur 30 hingga 39 tahun pula, seramai 378,508 individu dianggarkan menghidap diabetes, manakala 938,865 menghidap hipertensi.
“Justeru, kementerian melaksanakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan sejak 2022 bagi meningkatkan pengesanan awal faktor risiko NCD dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.
“Sehingga kini, 2,659,841 individu bawah 40 tahun telah disaring, dengan 339,854 dikesan mempunyai tekanan darah tinggi dan 176,415 mempunyai paras glukosa darah tinggi,” katanya.
Dzulkefly berkata, individu yang dikenal pasti berisiko atau menghidap penyakit akan dirujuk untuk tindakan susulan dan rawatan secara holistik oleh pasukan multidisiplin. – MalaysiaGazette


