Penyebaran ajaran sesat di Perak masih terkawal

IPOH – Penyebaran fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam atau ajaran sesat di Perak disifatkan masih terkawal dan usaha untuk mengekangnya sentiasa giat dijalankan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata pihaknya sentiasa mengadakan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawasi sebarang kemungkinan atau aktiviti penyebaran fahaman tersebut dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Tanpa menjelaskan secara lanjut, beliau tidak menolak masih terdapat aktiviti-aktiviti berkenaan namun ia tidak berada pada tahap serius sehingga boleh menggugat keharmonian masyarakat dan negeri.

“Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat ini datang dari luar termasuk fahaman yang dibawa Suhaini Mohammad atau Si Hulk. Ada juga fahaman yang mendakwa datang daripada mimpi, dan yang bersifat aneh.

“Kita pun tidak mengetahui bagaimana ada pihak yang boleh terpengaruh dan terikut dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng ini. Walau bagaimanapun, setakat ini di Perak ia masih terkawal dan tidaklah sampai mengancam keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini, yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis.

Dalam pada itu, Harith Fadzilah berkata pihaknya kini dalam usaha untuk memperkemaskan Kurikulum Pengajian Takmir Masjid dan Surau negeri agar ia dapat memperkasakan lagi kefahaman pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Seterusnya kita akan meminta untuk pentadbiran agama di semua daerah di Perak ini untuk mempertingkatkan tahap penguatkuasaan agama. Kita akan mengarahkan seluruh pentadbiran agama ini untuk mengawasi setiap masjid dan surau agar tidak mengajar perkara-perkara yang lari daripada konteks sebenar fahaman agama,” katanya lagi. – MG Perak.

 

BACA SETERUSNYA: Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah bawa kestabilan politik, keharmonian

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI