Perak Bison sasar tiga teratas saingan STL musim ini

IPOH – Perak Bison menyasarkan kedudukan tiga teratas saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang akan membuka tirainya pada Oktober ini.

Ketua Jurulatih Perak Bison, Mohd Tajuddin Ahmad menyifatkan sasaran itu dilihat realistik berdasarkan prestasi pasukan yang konsisten dalam saingan STL pada setiap musim.

Beliau juga turut mengakui terdapat pasukan yang akan memberikan saingan hebat antaranya Negeri Sembilan Antlers yang masih mengekalkan barisan pemain sedia ada.

“Memang tidak dinafikan pencapaian pasukan Perak setiap tahun pada STL adalah sangat baik.

Perak Bison sasar tiga teratas saingan STL musim ini
Ketua Jurulatih Perak Bison, Mohd Tajuddin Ahmad pada Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di Sentra Mall, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OKTOBER 2026.

“Kali ini kita dengan pengurusan baharu, barisan kejurulatihan pun baharu, tapi kita yakin dengan komitmen pemain yang ada dan juga komitmen pihak pengurusan mengekalkan kehebatan dalam STL,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Sentra Mall di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Tajuddin berkata, penghijrahan dua pemain utama, iaitu tekong Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin serta apit kiri Aidil Aiman Azwawi ke Terengganu Turtles turut sedikit menggoyahkan kedudukan pasukan berkenaan.

“Pada peringkat awal rasa terbeban apabila Aidil menerima tawaran daripada Terengganu dan pencarian pemain posisi apit kiri sangat kritikal.

“Kita cuba mencari pemain yang agak setara yang boleh menggantikan tempat Aidil dan alhamdulillah kita berjaya memujuk Ayong (Amirul Zazwan Amir) ke Perak pada musim ini.

Perak Bison sasar tiga teratas saingan STL musim ini
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di Sentra Mall, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OKTOBER 2026.

“Ayong adalah pemain regular untuk pasukan kebangsaan dan mempunyai banyak pengalaman di peringkat antarabangsa serta mampu membantu pasukan Perak pada musim ini,” ujarnya.

Katanya, kehadiran Amirul Zazwan dijangka memberi nilai tambah kepada pasukan, terutama dari segi pengalaman serta kemampuan mengharungi saingan sengit STL.

Pada musim ini, Perak Bison dibarisi lapan pemain termasuk dua import dari Thailand, iaitu Khathadet Srichan dan Chanchai Sarika di posisi tekong manakala Najmi Shafiq Anuar mengisi slot tekong tempatan.

Posisi apit kiri digalas oleh Amirul Zazwan dan Syafiq Mustakim Md Saad manakala apit kanan Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Madzrul Aziq Mat Tahir serta Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa akan beraksi di posisi apit kanan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Amirul Zazwan keluar zon selesa, sedia galas cabaran baharu bersama Perak Bison

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI