Perak kutip lebih RM6 juta Caj Perkhidmatan Tempatan tahun lalu

IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengutip sebanyak RM6.41 juta menerusi Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) pada kadar RM3 bagi setiap bilik penginapan semalam pada sepanjang tahun lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sebanyak RM2.15 juta dikutip kerajaan negeri di bawah CPT setakat 31 Mac lalu.

Katanya, angka kutipan caj berkenaan direkodkan daripada 1,340 premis penginapan atau hotel di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang telah mendaftar di bawah Enakmen Hotel Perak 2023.

“50 peratus daripada hasil kutipan CPT diagihkan dalam bentuk sumbangan kepada PBt bagi tujuan perbelanjaan pelancongan setempat merangkumi, penganjuran program atau acara pelancongan yang berfokus kepada tarikan tempatan, warisan, budaya dan produk komuniti.

“Selain itu ia turut disalurkan bagi aktiviti promosi dan pemasaran destinasi pelancongan setempat melalui bahan promosi, platform digital atau kempen kesedaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Tambah Shy Ching, PBT juga melaksanakan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan tarikan pelancongan termasuk papan tanda, kemudahan pengunjung, kebersihan dan aksesibiliti menerusi hasil kutipan caj berkenaan.

Ujar beliau, caj yang dikutip turut disalurkan bagi pelaksanaan program kerjasama strategik dengan komuniti setempat dan pihak berkepentingan berkaitan.

“Manakala baki 50 peratus lagi merupakan hasil kepada kerajaan negeri yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan negeri secara keseluruhan.

“Ia termasuk meningkatkan kemudahan awam serta menyokong inisiatif-inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri,” katanya lagi.

Ketika sesi soalan tambahan, See Hua meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berkenaan kategori hotel di negeri ini yang telah berdaftar di bawah Enakmen Hotel Perak 2023.

Shy Ching memaklumkan, berdasarkan kepada rekod sebanyak 752 premis penginapan kategori lima di negeri Perak merekodkan jumlah pendaftaran yang tertinggi.

“Kategori ini merangkumi pelbagai jenis premis penginapan yang berskala kecil dan sederhana termasuk asrama, motel, rumah tumpangan, rumah pengalaman, rumah tetamu, rumah bot, homestay (inap desa), tapak perkhemahan serta termasuk kenderaan yang digunakan sebagai tempat penginapan,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pengunjung menginap di Perak dikenakan caj RM3 tahun depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI