Perak pandang serius kejadian bom ikan di Temengor

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memandang serius kejadian melibatkan tindakan individu yang tidak bertanggunjawab bertindak menggunakan bom ikan di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor di Gerik baru-baru ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi  Perak, Datuk Salbiah Mohamed meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap individu terbabit yang tergamak melakukan perbuatan tersebut.

“Saya sebagai pemimpin dan anak tempatan Temengor berasa amat sedih dan kecewa atas sikap dan perkara yang telah terjadi.

“Tindakan ini jelas sekali salah dan tidak boleh diterima kerana merosakkan ekosistem ikan kelah yang merupakan spesis yang dilindungi kerajaan negeri dan khazanah yang sangat bernilai untuk seluruh penduduk Temengor, maka kami akan terus mempertahankannya.

“Justeru, kami menentang sekeras-kerasnya aktiviti haram yang dilaksanakan di hutan simpan tersebut dan akan berusaha untuk mengekang serta mengelakkan perkara sama daripada berulang kembali,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pada hari ini Salbiah hanya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi memberi keterangan berhubung kejadian tersebut.

“Kes tersebut disiasat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Jabatan Perikanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis kenal pasti lokasi video tular disyaki berlaku aktiviti bom ikan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI