Prosedur, impak aktiviti pacuan empat roda ke atas hutan dikaji

IPOH – Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan membuat kajian semula terhadap prosedur dan impak ke atas dirian hutan ekoran daripada aktiviti pacuan empat roda.

Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata, satu perbincangan dengan pengusaha aktiviti berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Mana-mana kumpulan atau individu dinasihatkan agar tidak memasuki mana-mana hutan simpanan kekal tanpa permit.

“Pelanggaran terhadap arahan itu jika disabit kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu kata beliau, Jabatan Perhutanan Negeri telah mengeluarkan arahan pembekuan kelulusan Permit Memasukan Hutan Simpanan Kekal bagi tujuan rekreasi selama tiga bulan bermula Jumaat lalu terhadap empat kawasan hutan simpan.

Ia adalah Hutan Simpan Amanjaya, Hutan Simpan Banding, Hutan Simpan Temengor serta Hutan Simpan Gerik.

Ujar beliau, pembekuan permit tu termasuk ke atas aktiviti pacuan empat roda, motosikal lasak, basikal lasak, memancing, dan sebagainya.

Jelas Mohd Basri, arahan pembekuan itu atas faktor penguatkuasaan dan kawalan terhadap sumber hutan, serta sebagai memberi ruang kepada proses siasatan insiden pengeboman ikan yang didakwa dilakukan sekumpulan individu dari sebuah kelab pacuan empat roda.

“Jabatan Perhutanan Negeri telah membuat laporan polis berkaitan kes itu pada 14 Mac lalu (Khamis) bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Sebelum ini tular di media sosial video yang memaparkan sekumpulan individu didakwa ahli sebuah kelab pacuan empat roda telah menggunakan bom ikan di sebuah kawasan hutan simpan dekat Gerik, dalam daerah Hulu Perak.

Dalam video pendek berkenaan, mereka dilihat menunjukkan hasil tangkapan dengan dipercayai mahu menunjuk-nunjuk jumlah ikan berjaya ditangkap.

Pihak polis dilaporkan menyiasat kes berkenaan susulan sebuah laporan polis berkaitan insiden itu dibuat sekumpulan individu di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada Sabtu.

Hadir sama menyokong kumpulan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor merangkap Exco Kerajaan negeri, Datuk Salbiah Mohamed serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak pandang serius kejadian bom ikan di Temengor

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI