Perak sasar 2,000 usahawan daftar aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyasarkan seramai 2,000 usahawan mendaftar aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak pada tahun hadapan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, setakat ini seramai 100 usahawan sudah berdaftar di bawah aplikasi itu sejak ia diperkenalkan pada bulan lalu.

Menurutnya, sebagai permulaan untuk tahun ini aplikasi yang dibangunkan Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan syarikat pembekal perkhidmatan dan solusi teknologi, Nityo Infotech Services Sdn Bhd (Nityo) itu akan membimbing 200 usahawan sebagai perintis untuk menggunakan platform digital e-dagang tersebut.

“Saya juga menggalakkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menghantar lebih ramai usahawan untuk mendaftar dalam aplikasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 DPPM Perak di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, sebagai permulaan projek rintis ini melibatkan seramai 200 usahawan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, pendaftaran aplikasi berkenaan tidak melibatkan sebarang kos daripada kerajaan negeri mahupun usahawan berkenaan.

“Setakat ini saya telah berbincang dengan agensi di bawah portfolio saya dan inshaALLAH pada minggu hadapan kita akan uar-uarkan inisiatif tersebut dan apa keistimewaannya untuk meletakkan produk mereka di dalam platform tersebut.

“Melalui platform ini secara tidak langsung kita dapat membantu usahawan peniaga mikro khususnya dalam mempromosikan produk mereka di dalam platform digital,” jelasnya.

Pada 17 November lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Perak dengan Nityo di Hotel Casuarina Meru.

Saarani berkata, penggunaan platform e-dagang ‘Shopmatic’ yang disediakan oleh Nityo bakal melonjakkan usahawan ke tahap yang lebih tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah program Flagship Ekonomi Digital.

Beliau berkata, platform ini juga membuka ruang untuk agensi kerajaan, pihak swasta dan usahawan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pengguna. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Digital Perak, Nityo jalin kerjasama tambah baik aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI