DPPM Perak komited jayakan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030

IPOH – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak komited dalam usaha menjayakan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilaksanakan kerajaan negeri bermula 15 Jun tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Amirudin Tajudin berkata, bagi merealisasikan pelan tersebut, seluruh warga DPPM Perak telah mula mengatur strategi supaya segala perancangan yang dilaksanakan berjalan lancar.

Menurutnya, sebagai permulaan, dua syarikat iaitu Sawit Pulau Tiga Sdn Bhd dan Laman Zulfakar Sdn Bhd melibatkan ahli DPPM Perak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam penternakan, pembiakan dan penjualan lembu.

“Bagi merealisasikan salah satu teras Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu keterjaminan makanan, kami bekerjasama dalam bidang penternakan lembu,” katanya selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPMM Perak kali ke-10 di sini, baru-baru ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

DPPM Perak komited jayakan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pemilik Sawit Pulau Tiga Sdn Bhd, Amirudin Tajudin dengan Pemilik Laman Zulfaqar Sdn Bhd, Khirul Nizam Tan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM), Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Pada majlis itu, Amiruddin yang juga Pengarah Sawit Pulau dan Pengarah Laman Zulfakar, Khirul Nizam Tan menandatangani MoU berkenaan sambil disaksikan oleh Mohd Azlan Helmi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, DPPM juga telah menghantar draf MoU kepada Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Perak, bagi menjalin kerjasama dalam merancakkan lagi Pelan Perak Sejahtera 2023 melibatkan usahawannya.

Ujar beliau, DPMM juga telah menghantar permohonan kepada Halal Development Corporation Bhd (HDC) bagi mewujudkan latihan serta kursus halal melibatkan usahawan di bawahnya.

“Draf untuk menjalankan MoU dengan UPEN Perak telah kita hantar dan usaha ini bertujuan mengangkat martabat usahawan Perak khususnya usahawan Melayu.

“Kita juga komited untuk menambah lebih ramai usahawan di Perak yang memiliki pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) daripada lebih 800 yang ada sekarang.

“InsyaAllah kita akan dipanggil untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak HDC pada Januari 2024,” katanya.

Amirudin berkata, pihak DPPM juga telah memasang kain rentang bersaiz 20×20 kaki di bangunannya di Ipoh sebagai tanda sokongan dan komitmen persatuan tersebut dalam bersama-sama menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Tambah beliau ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak membantu DPPM Perak khususnya dan usahawan keseluruhan.

DPPM Perak komited jayakan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030
Salah seorang usahawan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) memberi penerangan kepada Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi melihat Pameran Usahawan Negeri Perak di bangunan DPMM Perak di Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Terdahulu, Azlan Helmi turut menyampaikan replika cek bernilai RM17.5 juta kepada syarikat Inflow Global Marketing (M) Sdn Bhd yang memperolehi tender membekalkan bahan makanan mentah / basah dan kering ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi tempoh tiga tahun mulai Januari 2024 hingga Disember 2026.

Replika cek tersebut diterima Pengarah Urusan Inflow Global Marketing, Abdullah Sani Saari yang juga Timbalan Yang Dipertua DPPM Perak.

Sementara itu, dalam pemilihan yang diadakan sempena mesyuarat tersebut, semua jawatan dimenangi tanpa bertanding.

Selain Amirudin sebagai Yang Dipertua dan Abdullah Sani sebagai Timbalan Yang Dipertua, buat pertama kalinya seorang wanita, Kamariah Wan Othman dipilih sebagai Naib Yang Dipertua DPPM Perak.

Kerajaan Negeri Perak di bawah Prinsip Perak Sejahtera 2030 melalui kerjasama pintar, menetapkan untuk menjalin kerjasama pintar dengan syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan jabatan serta agensi negeri.

Ia bertujuan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin kompleks dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara strategik selain mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan dan memanfaatkan sumber.

Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Perak dan pihak luar yang mempunyai kelebihan khusus dalam pengetahuan, kemahiran dan sumber kewangan perlu dijalinkan bagi menjayakan inisiatif dan projek pembangunan yang dirancang. – MG Perak

Artikel berkaitan:

Perak sasar 2,000 usahawan daftar aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI