Pesara rugi lebih RM700,000 diperdaya pelaburan mata wang kripto

IPOH – Seorang pesara pengawal keselamatan yang menetap di Tanjung Malim kerugian RM717,050 akibat diperdaya sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud menerusi media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata terdahulu lelaki berusia 67 tahun itu melihat iklan pelaburan mata wang kripto sebuah syarikat atas nama Yomaex Crypto Market Limited di laman sosial Facebook pada 22 Mei lalu.
Menurutnya, mangsa kemudiannya menghubungi ejen (suspek) syarikat terbabit melalui panggilan telefon dan bertanyakan mengenai pelaburan tersebut serta memaklumkan syarikat itu berpangkalan di Perancis.
“Mangsa yang menyatakan minat diberikan satu pautan laman sesawang dan memuat turun aplikasi untuk tujuan pelaburan tersebut.
“Selepas membaca syarat-syarat dalam pautan tersebut, mangsa membuka satu akaun e-wallet yang terdapat pada pautan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.
Beliau berkata mangsa mula membuat pindahan wang sebanyak RM8,000 ke dalam akaun yang diberikan bagi pengaktifan e-dompet serta modal permulaan pelaburan.
“Mangsa semakin percaya selepas melihat sebanyak USD14,985 (RM70,841.59) dikreditkan ke dalam akaun e-dompetnya.
“Selepas itu, mangsa bertambah yakin dan membuat penambahan modal berjumlah RM717,050 melibatkan 17 transaksi ke 10 akaun bank berbeza serta perlu menunggu selama dua bulan untuk tempoh matang pelaburan tersebut,” katanya.
Mohd Yusri berkata pada 5 Oktober lalu, mangsa membuat semakan melalui e-dompet dan mendapati wang pelaburan bertambah kepada USD1.5 juta (RM7,091,250).
“Kemudian, mangsa cuba membuat pindahan wang ke akaun peribadinya namun gagal dan mangsa bertindak menghubungi syarikat pelaburan itu yang kemudian mengarahkannya untuk memasukkan RM300,000 sebagai caj pemindahan wang tersebut namun mangsa tidak melakukannya, “jelasnya.
Katanya, kira-kira jam 9 malam semalam, mangsa mendapati wang di dalam akaun e-dompetnya kosong dan tidak dapat diakses kononnya disekat oleh Bank Negara.
“Mangsa bertindak membuat laporan polis bagi mendapatkan semula wang miliknya. Bagaimanapun semakan polis mendapati syarikat yang menjalankan pelaburan tersebut tidak pernah didaftarkan di Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MGPerak

BACA LAGI

Polis siasat wanita dakwa diperlekeh anggota ketika buat laporan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI