KUALA LUMPUR – Juruterbang sebuah syarikat penerbangan tempatan yang ditahan di Indonesia bulan lepas berhubung penemuan dadah dianggarkan bernilai RM45 juta, dipercayai telah beberapa kali menyeludup bahan terlarang itu ke luar negara sejak 2024.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan mendapati lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai menggunakan jadual penerbangannya untuk membawa dadah ke beberapa destinasi.
“Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kegiatan lelaki itu terbongkar hasil sesi soal siasat yang dijalankan oleh sepasukan pegawai JSJN terhadapnya di Jakarta baru-baru ini.
Hussein berkata hasil soal siasat itu turut mendedahkan kewujudan beberapa rangkaian sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di Malaysia dan luar negara termasuk Indonesia.
Susulan itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat serta menjejaki aliran pergerakan wang pengedaran tersebut, selain akan memanjangkan maklumat berkenaan kepada agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa berkaitan.
Mengulas mengenai taktik suspek melepasi pemeriksaan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Hussein berkata siasatan mendapati lelaki itu bergerak secara bersendirian tanpa bantuan mana-mana “orang dalam”.
“Polis berpuas hati bahawa tiada penglibatan orang dalam ketika proses suspek melepasi pemeriksaan di KLIA. Bagaimanapun, modus operandi yang digunakan tidak dapat didedahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Republik Indonesia (POLRI) atas kerjasama erat dalam membantu siasatan, khususnya ketika sesi soal siasat terhadap suspek di Jakarta yang berakhir pada Jumaat lepas.
Hussein sebelum ini berkata tiada permohonan ekstradisi akan dibuat terhadap juruterbang berkenaan dan suspek perlu menjalani proses perundangan di Indonesia.
Pada 29 Julai lepas, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Menurut POLRI, pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta berdasarkan harga pasaran Indonesia.
— BERNAMA


