Pesara polis maut, motosikal langgar jengkaut

BATU GAJAH – Seorang pesara polis maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah jengkaut di Lorong 4 Bakar, Kampung Ayer Papan, Tanjung Tualang, dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, hasil siasatan awal mendapati nahas jalan raya itu berlaku sekitar jam 12 tengah hari.

Katanya, ketika kejadian  mangsa yang berumur 55 tahun itu dalam perjalanan hendak pulang ke rumah dari Tanjung Tualang menuju ke Kampung Gajah.

“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu jengkaut telah keluar simpang dari sebelah kiri masuk ke jalan itu

“Ia menyebabkan penunggang motosikal yang datang dari laluan tersebut telah melanggar bahagian kanan ‘bucket’ jengkaut berkenaan.

“Akibat daripada kemalangan, penunggang motosikal terbabit telah mengalami cedera parah pada bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu jengkaut yang berusia 64 tahun itu negatif selain semakan mendapati pemandu itu tidak mempunyai sebarang rekod saman.

“Mayat penunggang motosikal yang juga pesara polis itu telah di hantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

“Justeri orang ramai yang mempunyai maklumat serta menyaksikan kemalangan ini diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Inspektor G.Rissi di talian 017-7615662,” ujarnya.

Tambah Mohamad Roy Suhaimi, siasatan terhadap kejadian berkenaan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bunuh lelaki tempatan, warga asing ditahan polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI