TANJUNG MALIM – Petronas melalui Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) menyerahkan Penyerahan Agihan Ihsan Fitri (i-Fitri) Zakat Kampus sebanyak RM100,000 kepada mahasiswa golongan asnaf di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Sebanyak RM100,000 i-Fitri disalurkan kepada UPSI untuk dimanfaatkan 100 mahasiswa UniMAP dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan yang kini sedang mengikuti pelbagai kursus di universiti berkenaan.
Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latiff berkata, wang zakat itu akan diagihkan kepada 100 mahasiswa asnaf dengan setiap pelajar menerima RM1,000.
Menurutnya, pihak universiti akan memastikan pelajar asnaf yang terpilih menerima sumbangan mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang, akhlak terpuji dan terlibat aktif dalam aktiviti persatuan atau kolej.
“Sehubungan itu, kami amat mengalu-alukan mana-mana pihak atau agensi korporat di negara ini yang berhasrat untuk memberi sumbangan dalam bentuk zakat atau wakaf tampil bagi memberi manfaat kepada mahasiswa asnaf yang menuntut di 10 fakulti di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis tersebut yang diadakan di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Abdul Rahim Razalli, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dana Asy-Syakirin (anak syarikat Petronas), M Nasarudin Salleh dan wakil BAKIP, Ahmad Shukri Ismail, Dr Rafiza Mohamed serta Amer Peter Abdullah.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, UPSI adalah satu-satunya universiti pendidikan di negara ini yang melahirkan graduan pendidikan dan memiliki sejarah yang panjang sejak tertubuhnya Sultan Idris Training College (SITC) pada awal tahun 1920-an.
“Selepas 100 tahun merentasi empat era, UPSI mencipta kemasyhuran dalam membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memajukan sistem pendidikan di negara ini menerusi tenaga pakar yang ada.
“Justeru, UPSI sentiasa prihatin terhadap kebajikan mahasiswa yang dikategorikan dalam golongan asnaf dan berterima kasih kepada pihak badan kebajikan bawah Petronas yang memberi sumbangan berkenaan ,” katanya yang mewakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mahasiswa UPSI bersih masjid, cat gelanggang awam di Selangor