Mahasiswa UPSI bersih masjid, cat gelanggang awam di Selangor

IPOH – Seramai 30 mahasiswa termasuk kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama menyumbang tenaga dan masa untuk menjalankan aktiviti membersihkan dua masjid dan mengecat gelanggang awam di Selangor baru-baru ini.

Gotong-royong itu melibatkan dua masjid utama, iaitu Masjid Warisan Al-Hidayah, Ampang Pecah dan Masjid Al-Ubudiyah, Kerling, Selangor.

Naib Canselor UPSI, Professor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, aktiviti pembersihan ini menggunakan empat mesin water jet yang dibawa khas dari UPSI serta alatan lain untuk memastikan kebersihan yang menyeluruh.

Menurutnya, sukarelawan terbabit turut mengecat gelanggang sepak takraw dan bola tampar di kawasan Ampang Pecah bagi memberikan wajah baru yang lebih ceria untuk ruang riadah komuniti setempat.

“Aktiviti ini membuktikan bahawa program seperti ini bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi dapat mengukuhkan ikatan pelbagai pihak demi kepentingan bersama.

“Komitmen antara UPSI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkasakan mahasiswa dan masyarakat setempat menjadi asas penting dalam usaha mencipta kesan positif dan berpanjangan dalam kehidupan ramai orang

“Menerusi usaha dan komitmen tersebut, program ini berjaya memberikan impak positif kepada masyarakat setempat, menyemarakkan semangat perpaduan serta semangat saling membantu dalam kalangan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau berkata, program seumpamanya secara tidak langsung menunjukkan bahawa melalui usaha bersama, UPSI boleh mencipta perubahan yang bermakna bersama  komuniti.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu memberikan mahasiswa dan kakitangan UPSI pengalaman 10 jam berkhidmat dalam bidang kesukarelawanan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir turut hadir sama beramah mesra dengan komuniti di Masjid Al-Ubudiyah, Kerling dan menyertai majlis makan malam yang diadakan bagi meraikan komuniti setempat bagi mengeratkan jalinan kerjasama antara pihak universiti dan masyarakat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI terima kunjungan INTAN

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI