PIBG MCKK selar tindakan ibu bapa pelajar tular kes buli

KUALA KANGSAR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan insiden buli yang berlaku di sekolah berasrama penuh tersebut.

PIBG MCKK melalui satu hantaran di halaman Facebook berkata, kenyataan yang dikeluarkan ibu bapa pelajar terbabit dilihat memberi impak besar dan imej buruk kepada sekolah berkenaan.

Menurut hantaran itu, PIBG MCKK berkata kes berkenaan sudah selesai disiasat dan tindakan disipilin telah diambil oleh pihak sekolah.

“Sehubungan itu, pihak PIBG mengambil pendirian bahawa keputusan yang diambil oleh pihak sekolah perlu dihormati atas faktor kebajikan dan kebaikan semua pihak.

“Pihak sekolah juga telah mematuhi semua tatacara dan prosedur dipatuhi dalam mengambil keputusan tanpa sebarang campur tangan mana- mana pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, PIBG MCKK menghormati pendirian pihak sekolah dan pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman yang diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan empat.

“PIBG MCKK juga telah menerima laporan mengenai murid-murid MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan di sekitar Kuala Kangsar dan dicop sebagai pembuli.

“Pada masa sama, PIBG MCKK memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini.

“Justeru, pihak PIBG mencadangkan pelajar MCKK tidak dibenarkan keluar bersendirian ke pekan Kuala Kangsar bagi satu tempoh yang bersesuaian sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya.

“Selain itu, pelajar tidak akan membalas sebarang serangan atau provokasi yang diterima daripada pihak luar dan akan membuat laporan kepada pihak sekolah sekiranya berlaku gangguan serangan atau provokasi oleh pihak luar sepanjang berada di pekan Kuala Kangsar, “katanya.

Ujarnya, pihak MCKK akan membantu membuat laporan polis sekiranya berlaku kacau ganggu kepada pelajar MCKK selain pihak kaunseling MCKK terus memantau sebarang gangguan emosi yang mungkin berlaku di kalangan murid-murid MCKK.

“Pihak PIBG sekolah kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini.

PIBG MCKK yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain supaya tidak mencampuri urusan sekolah serta berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK.

“Keputusan dan pertimbangan oleh pihak sekolah dan Tuan Pengetua adalah semata-mata untuk kebajikan, kebaikan dan kejayaan semua murid-murid MCKK di masa hadapan,” katanya.

Jumaat lalu, tular di laman Instagram berhubung seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan pada 4 November lalu memaklumkan, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini.

Laporan itu diterima pada 24 September lalu membabitkan tiga mangsa terdiri daripada pelajar Tingkatan Empat. – MG Perak

Artikel berkaitan:

Polis sahkan kejadian buli sekolah asrama penuh di Kuala Kangsar

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI