Polis sahkan kejadian buli sekolah asrama penuh di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kejadian buli di salah sebuah sekolah berasrama penuh dalam daerah ini seperti yang tular melalui applikasi sosial media Instagram.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hantaran yang tular tersebut dikesan pihak polis pada Sabtu dan memaklumkan kes berkenaan masih di dalam siasatan pihak berkuasa.

Menurut Omar Bakhtiar, pihaknya telah menerima laporan polis berkaitan kejadian pada jam 10.05 pagi 24 September lalu yang mendakwa tiga orang pelajar tingkatan empat menjadi mangsa buli kepada empat pelajar tingkatan lima di sekolah berasrama penuh berkenaan.

“Dalam kejadian ini, mangsa adalah pelajar tingkatan empat yang dikatakan telah dipukul oleh pelajar tingkatan lima sebelum di bawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah.

“Mangsa kemudiannya menerima rawatan lanjut dan doktor yang merawat telah mengesahkan hasil pemeriksaan ‘Normal Physical Finding’ mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera dan jika disabitkan dengan kesalahan ini boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya.

“Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Bahagian D5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 20 Oktober 2023 untuk pandangan dan nasihat.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak memmbuat sebarang kenyataan atau komen serta spekulasi yang tidak berasas berkaitan dengan kes yang diviralkan ini,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah hantaran dipercayai dimuat naik ahli keluarga salah seorang mangsa buli yang mendakwa keadilan yang diperoleh oleh mangsa amat mengecewakan.

Individu terbabit mendakwa, beliau terpaksa berkongsi perkara tersebut ekoran bimbang keselamatan mangsa selain turut menuntut keadilan.

“Membawa perkara ini kepada umum kerana segala usaha dan keikhlasan kami menyelesaikan perkara ini secara baik dan tertutup mengecewakan.

“Hari ini kecederaannya (kecederaan mangsa) serius, apa yang boleh berlaku seterusnya?,” soal individu berkenaan. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI