Kes buli MCKK: Polis sudah serah kertas siasatan kepada DPP

IPOH – Pihak polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian buli yang didakwa berlaku di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sehingga melibatkan kecederaan seorang pelajar lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri  berkata, kertas siasatan berkenaan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada Isnin.

“Kertas siasatan telah diserahkan untuk arahan selanjutnya. Dan ia dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Polis sahkan kejadian buli sekolah asrama penuh di Kuala Kangsar

PIBG MCKK selar tindakan ibu bapa pelajar tular kes buli

Pada Jumaat, tular di media sosial mendakwa seorang pelajar sekolah menengah dimasukkan ke hospital selepas dipercayai dibuli pelajar senior di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar.

Selain itu, turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dilaporkan berkata pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Laporan kejadian itu diterima pada 24 September lalu melibatkan tiga mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat. -MG Perak

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI