Buli di sekolah: Jangan cetuskan andaian sendiri – Exco Perak

IPOH – Semua pihak diminta untuk tidak mencetuskan andaian sendiri tertentu sekiranya berlaku sebarang insiden buli dalam kalangan pelajar sekolah di Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, sebaliknya mereka diminta untuk menyerahkan proses siasatan dijalankan oleh pihak bertanggungjawab seperti pentadbir sekolah, polis dan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Tidak perlu buat sebarang andaian sendiri, sebab ia akan memburukkan lagi keadaan yang akan menyebabkan berlaku pertikaian, perselisihan dan sebagainya.

“Jadi, kita beri mandat kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melakukan siasatan dan apabila hasill siasatan telah diperoleh semua pihak wajar menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairudin menambah pihaknya yakin pihak pentadbiran sekolah di negeri ini akan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian buli dan tidak akan cuba menyembunyikannya.

“Cuma kepada mereka yang jadi mangsa buli, mereka harus memberanikan diri untuk membuat laporan membuat atau aduan kepada pihak berwajib termasuk pihak sekolah.

“Ia supaya tindakan awal boleh diambil bagi memastikan kejadian itu tidak menular dan menyebabkan berlakunya pertikaian dan permasalahan yang lebih buruk selepas itu,” katanya.

Beliau sebelum itu diminta mengulas berkenaan kejadian buli yang sebelum ini tular di media sosial membabitkan sebuah sekolah berasrama berasrama di Kuala Kangsar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan memberi jaminan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli jika dikesan berlaku dalam kalangan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pada Khamis, media melaporkan KPM menegaskan tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

Sebelum itu, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berpandukan hantaran yang tular di media sosial, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kes buli MCKK: Polis sudah serah kertas siasatan kepada DPP

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI