Buli MCKK: Kertas siasatan diserah kepada Jabatan Peguam Negara

IPOH – Kertas siasatan polis berhubung kejadian buli dalam kalangan pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya pada Khamis.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, susulan itu pihak berkenaan telah memberikan beberapa arahan khusus bagi melengkapkan lagi kertas siasatan termasuk berkenaan laporan penuh perubatan mangsa dan sebagainya.

“Tindakan sedang diambil oleh pihak pegawai penyiasat kes. Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat setelah semua tindakan laporan diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Pada Rabu media melaporkan kertas siasatan berkenaan kes itu telah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan lima di MCKK sebagaimana yang tular di media sosial sebelum ini.

Ia susulan tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan berkata polis sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan pada 24 September lalu.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah berkenaan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kes buli MCKK: Polis sudah serah kertas siasatan kepada DPP

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI