Pindaan enakmen jenayah syariah perlu dirujuk, dapat perkenan Sultan Perak

IPOH – Semua perkara melibatkan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu termasuk pindaan terhadap enakmen jenayah syariah di Perak perlu dirujuk serta mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sebelum dibawa ke Sidang DUN untuk dibahaskan perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu menerusi sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menurutnya, selepas kajian dijalankan, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak.

“Kita ambil ‘queue’ (turutan) daripada situ berpandukan Undang-Undang Tubuh negeri. Jadi mesti dapat perkenan daripada Tuanku (Sultan Perak) dahulu sebelum jawatankuasa dalam MAIPk itu mula berbincang dan hasil perbincangan dikemukakan dalam persidangan MAIPk.

“Kalau nak mula perbincangan begitu iaitu di jawatankuasa MAIPk pun, ia mesti melalui perkenan Tuanku terlebih dahulu dan memang ini yang diperuntukkan menerusi perlembagaan  sebelum dikemukakan ke DUN,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah dan Timbalan Speaker DUN Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Persidangan kali ini akan diadakan selama lima hari bermula 23 Februari ini dengan istiadat pembukaan rasmi akan disempurnakan oleh Sultan Perak.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Sementara itu, Mohammad Zahir turut memohon semua untuk mendoakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man yang menjalankan pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) supaya segera sembuh dan pulih segera. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

DUN Perak lulus RUU Wasiat Orang Islam

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI