Perak ada jawatankuasa tambah baik undang-undang syariah negeri

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited dalam memartabatkan kehakiman dan perundangan syariah secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan pemegang taruh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berikutan itu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menurutnya, jawatankuasa tersebut bertanggungjawab menjalankan fungsi semakan, menderaf atau menambah baik undang-undang syariah di peringkat negeri.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak dan Penasihat Undang-undang Negeri Perak serta dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang dan hukum syarak.

“Ini termasuklah Mufti Negeri, Ketua Hakim Syarie Negeri, ahli akademik dan pengamal undang-undang yang telah dilantik.

“Sebarang pindaan terhadap undang-undang syariah termasuklah Enakmen Jenayah Syariah Negeri perlu mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani berkata, bagi memastikan peruntukan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik dari aspek substantif dan prosedural, agensi-agensi agama yang berkaitan seperti Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Mahkamah Syariah Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pindaan enakmen jenayah syariah perlu dirujuk, dapat perkenan Sultan Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI