Peniaga kekal harga berpatutan, orang ramai berbelanja sederhana sempena Aidiladha

GOPENG – Beberapa peniaga mengakui terdapat peningkatan harga bahan mentah, namun tetap mengekalkan harga jualan pada kadar berpatutan malah menawarkan diskaun sempena perayaan Aidiladha bagi menarik pelanggan membeli biskut dan kerepek.

Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak di Jualan Agro Madani @ Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak mendapati, orang ramai tetap membuat persiapan saat akhir bagi menyambut Hari Raya Aidiladha esok dengan membeli pelbagai barangan keperluan dan juadah raya meskipun suasananya tidak semeriah perayaan Aidilfitri.

Peniaga kekal harga berpatutan, pengunjung berbelanja secara sederhana sempena Aidiladha
Pemilik Amad’s Cookies, Ahmad Salimie Baskani, 39, meniaga pada Jualan Agro Madani di RTC Perak, Gopeng. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MEI 2026.

Pemilik Amad’s Cookies, Ahmad Salimie Baskani, 39, berkata, keadaan cuaca hujan pada mulanya sedikit menjejaskan jualan sebelum kembali meningkat pada hari berikutnya.

Dia yang mula berniaga sejak tiga tahun lalu mengakui bahawa kos barangan mentah sedikit meningkat sejak Ramadan, namun masih berusaha mengekalkan harga jualan demi pelanggan.

“Di sini saya jual cookies dan biskut raya, ada yang buat sendiri dan ada yang diambil daripada vendor. Pada mulanya (jualan) slow sebab hujan, tetapi hari kedua, ketiga jualan makin meningkat, Alhamdulillah.

“Harga barang (mentah) dari puasa memang naik tetapi setakat ini kita masih kekal harga sama. Jualan pada kali ini juga melebihi sasaran dan hari terakhir sempena jualan raya ini boleh dikatakan ‘hari bonus’,” ujarnya yang turut menjual kunafa dan biskut raya.

Peniaga kekal harga berpatutan, pengunjung berbelanja secara sederhana sempena Aidiladha
Peniaga, Noradila Mohammad Ariffin, 28, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di RTC Perak, Gopeng. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MEI 2026.

Peniaga baulu dan kerepek di bawah jenama Sri Ayunie, Noradila Mohammad Ariffin, 28, pula berkata, jualan tahun ini agak perlahan berbanding tahun sebelumnya namun masih menerima sambutan pelanggan.

“Saya meneruskan perniagaan ibu yang sudah bertapak lebih 30 tahun lalu dengan menjual kuih baulu, kerepek dan kuih kapit.

“Alhamdulillah, tahun ini ada pelanggan tetapi tak laris macam tahun lepas. Pelanggan yang datang beli masa Hari Raya Aidilfitri ada yang datang untuk beli bagi perayaan Aidiladha. Kebanyakkannya datang beli kerepek berbanding baulu,” jelasnya.

Peniaga kekal harga berpatutan, pengunjung berbelanja secara sederhana sempena Aidiladha
Mohamad Ruzaini Padzir, 40, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di RTC Perak, Gopeng. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MEI 2026.

Sementara itu, pengunjung, Mohamad Ruzaini Padzir, 40, berkata, dia tetap membuat persiapan sederhana bersama keluarga selain mengambil kesempatan membeli makanan ringan seperti kerepek ketika singgah di gerai jualan.

“Sebenarnya, saya datang untuk membeli ayam tetapi tak jadi. Kemudian, saya tengok ada gerai jualan, saya singgah sebentar dan membeli kerepek.

“Petang nanti baru saya akan beli ayam di Kuala Kangsar (kampung) dan saya rasa harga di sini standard seperti di Shah Alam dan Kuala Lumpur, jadi saya akan beli saja,” katanya.

Peniaga kekal harga berpatutan, pengunjung berbelanja secara sederhana sempena Aidiladha
Radhiha Mohamad Zawaib, 46, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di RTC Perak, Gopeng. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MEI 2026.

Radhiha Mohamad Zawaib, 46, pula memilih untuk mendapatkan barangan keperluan di pasar raya yang menawarkan harga mampu milik bagi mengurangkan beban perbelanjaan Aidiladha.

“Barang masak saya beli di pasar raya yang mampu milik untuk pengguna. Ada pasar raya yang menawarkan harga ayam murah termasuk barang kering seperti beras, milo dan susu.

“Selain itu, saya bercadang untuk memasak rendang ayam pada hari raya ini. Terdapat kedai yang selalu saya beli menjual dengan harga promosi mengikut saiz serendah RM25 untuk tiga ekor ayam. Harga mampu milik untuk semua,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Peniaga Pasar Besar Ipoh buat persiapan awal, elak ‘raya mengejut’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI