DUN Perak lulus RUU Wasiat Orang Islam

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 pada Jumaat.

RUU dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis itu diluluskan selepas dibahas dan digulung selama dua hari di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini.

Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil bahagian dalam perbahasan pembentangan RUU itu ialah tiga wakil kerajaan, terdiri daripada Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi), Salina Samsuddin (BN-Behrang) dan Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari kerajaan pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 DISEMBER 2023.

Manakala tiga wakil pembangkang pula, Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama), Nadziruddin Mohamed Bandi (PN-Changkat Jong) serta Mohd Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting).

Sejurus selepas Saarani membuat penggulungan, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan enakmen diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui semua ADUN.

Ketika membentangkan RUU berkenaan, Saarani berkata, ia  bertujuan mengadakan suatu undang-undang khusus berkenaan wasiat orang Islam bagi membolehkan kerajaan negeri memberi panduan, mengurus tadbir dan mengawasi pembuatan serta pelaksanaan wasiat orang Islam di Perak secara berkesan.

Jelas beliau, sebelum ini semua perkara berhubungan wasiat orang Islam di Perak tidak diperuntukkan secara khusus dan terperinci.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyantuni Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari pembangkang pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 8 DISEMBER 2023.

Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang menjadi undang-undang utama hanya mengandungi peruntukan am berkaitan wasiat seperti kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayus Perak (MAIPk) untuk bertindak sebagai wasi iaitu orang yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka serta melaksanakan hasrat dan arahan pewasiat bagi sesuatu wasiat.

“Proses memuktamadkan RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 ini telah diperhalusi melalui kajian khusus dan terperinci berkaitan persoalan-persoalan teknikal hukum syarak oleh pasukan penyelidik yang dibentuk oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Ia turut dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RUU Wasiat Orang Islam Negeri Perak serta Mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah Negeri Perak.

“RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 telah diluluskan oleh Persidangan MAIPk Kali Ke-226 bertarikh 2 November 2023 dan kemudiannya telah diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 8 November 2023,” katanya.

Ketika menggulung perbahasan, Saarani berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan garis panduan yang akan menjadi pelengkap kepada RUU tersebut sebagai rujukan kepada semua pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik saranan oleh Abdul Aziz supaya kerajaan negeri melantik Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menjalankan kajian secara komprehensif dengan menghimpunkan semua persoalan berkaitan pentadbiran harta orang Islam meliputi wasiat, pusaka dan hibah.

“Dalam hubungan ini, kerajaan negeri mengambil pendirian terbuka untuk meneliti cadangan berkenaan untuk dibincang dan dipanjangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diperhalusi,” ujarnya lagi. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI