Nilai semula undang-undang tangani isu sensitif, hina Islam, Raja Melayu – Zahid

KUALA LUMPUR –  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah tiba masanya, perundangan sedia ada dinilai semula demi memastikan agama Islam dan Institusi Raja-Raja Melayu tepelihara daripada isu-isu sensitiviti.

Menurut beliau, keresahan rakyat berhubung perkara tersebut tidak boleh dianggap kecil sebaliknya mesti ditangani dengan tegas.

Menurutnya, kebebasan bersuara mesti terus dihormati tetapi dalam masa sama tidak boleh menjadi ‘lesen’ untuk menghina agama, memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu atau merosakkan asas keharmonian negara.

“Islam ialah agama Persekutuan. Raja-Raja Melayu ialah payung kedaulatan. Maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil.

“Ia mesti ditangani dengan tegas, adil dan berhikmah agar maruah agama, institusi negara dan keharmonian nasional dapat terus terpelihara,” katanya menyampaikan ucapan pembukaan Musyawarah Nasional, Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? di sini hari ini.

Pengasas Musyawarah Nasional itu turut menyentuh isu-isu semasa yang menyentuh sensitiviti agama dan penghinaan institusi Raja-Raja Melayu yang mencetus keresahan masyarakat kaum Melayu antaranya, penghinaan terhadap kalimah, jenaka ham and cheese yang meremehkan halal termasuk menyamakan wajah Sultan Selangor dengan imej haiwan.

“Perbuatan sebegini jelas melampaui batas adab, budaya dan prinsip hormat yang menjadi asas keharmonian masyarakat,” tambahnya yang juga Presiden UMNO dan menyifatkan aspek itu antara lima perkara perlu dibincangkan pada musyawarah hari ini.

Selain itu, tambah Zahid, empat lagi perkara yang mencetus keresahan Melayu dan wajar dibincangkan hari ini adalah isu pemilikan ekonomi, medan pendidikan dan bakat masa depan.

“Kos hidup meningkat, rumah semakin sukar dimiliki, usahawan Melayu masih kecil skalanya, ekuiti Bumiputera masih jauh daripada sasaran dan Melayu bandar semakin terhimpit oleh gentrifikasi.

“Cabaran ini bukan lagi sekadar soal bantuan atau subsidi. Ini soal pemilikan aset, penguasaan pasaran, rantaian bekalan dan akses kepada ekonomi masa depan.

“Hari ini, keresahan mula timbul apabila pendidikan yang dahulu menjadi jalan mengubah nasib keluarga, semakin dilihat tidak lagi menjamin pekerjaan, kestabilan hidup dan masa depan generasi muda,” jelas Ahmad Zahid.

Perkara yang terakhir, katanya lagi adalah berkaitan medan sosial, budaya, bahasa dan perpaduan nasional.

Ahmad Zahid berkata, selain Bahasa Melayu semakin dipinggirkan, generasi muda dilihat semakin jauh daripada akar bangsanya.

“Globalisasi, teknologi digital dan budaya luar sedang membentuk cara fikir anak muda – sedangkan adab, warisan dan nilai tempatan semakin longgar dalam mengisi kehidupan seharian,” katanya lagi.

Justeru, beliau menyifatkan berkata garis panduan perpaduan nasional juga perlui diperkukuh bagi memastikan setiap dasar, program dan penganjuran awam menghormati sensitiviti agama, budaya dan bahasa. – MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI