Pingat kurnian Sultan Perak bakar semangat atlet terjun dan muaythai

KUALA KANGSAR – Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh menyifatkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) yang diterimanya daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai pembakar semangat untuk merebut tempat di pentas Olimpik Paris 2024.

Atlet acara terjun 3.0 meter (m) papan anjal itu berkata, kurnian Sultan Nazrin berkenaan merupakan penghargaan terbesar yang pernah diterimanya sepanjang bergelar anak jati Perak selain sebagai atlet terjun negara.

Menurut Muhammad Syafiq, beliau tidak akan mempersiakan kurniaan yang diterimanya dan akan berusaha sepenuhnya bagi memperoleh tempat dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini adalah sebuah penghargaan buat saya sebagai anak Perak dan saya tidak sangka menerima pingat kurniaan daripada baginda Sultan Perak dan ini membuktikan segala usaha dan hasil saya sebelum ini mendapat pengiktirafan.

“InsyaAllah dengan menerima pingat ini saya akan terus berjuang terutamanya pada awal Februari tahun hadapan di mana saya bakal menyertai pusingan kelayakan Olimpik di Qatar.

“Saya akan berusaha untuk menempah slot ke Olimpik Paris 2024 dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia dan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67, Sultan Perak, di Istana Iskandariah, di sini, pada Sabtu.

Atlet penerjun negara, Muhd Shafiq Puteh (kiri) dan atlet sukan muaythai negara, Mohamad Rifdean Masdor menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 NOVEMBER 2023.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara yang turut menerima PJK pada istiadat berkenaan, Mohammad Rifdean Masdor turut menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kurniaan yang diterimanya itu.

Juara dunia tiga kali berturut-turut bagi sukan Muaythai itu berkata, PJK yang diterimanya itu juga akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk berentap di Bangkok pada Disember ini.

“Saya terlalu gembira dengan kurniaan daripada baginda Sultan Perak memandangkan saya orang luar tetapi bermain untuk negeri Perak dan diberi penghargaan seperti ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Perak, Majlis Sukan Negeri Perak, jurulatih dan semua yang menyokong saya sampai hari ini,” katanya.

Mohammad Rifdean turut menasihat golongan muda agar melakukan aktiviti berfaedah dan jika mahu menjadi seorang atlet pastikan belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Nak jadi atlet ini ada kelebihan dan kekuranganya, jadi teruskan semangat dan berusaha kerana hidup ini keras dan berusahalah sehingga berjaya,” katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan kepada 209 penerima pada sesi kedua istiadat berkenaan.

Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen mendahului senarai 209 penerima darjah kebesaran dan pingat pada sesi kali ini.

Mohd Arshil yang merupakan penerima tahun 2020 menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), diikuti Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Sihimah Wahid dan Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dr Rofina Yasmin Othman yang sepatutnya menerima darjah berkenaan pada tahun 2021.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan PCM kepada 13 penerima bagi tahun 2023, diikuti 31 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 20 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 42 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 57 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 31 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 15 Pingat Lama Perkhidmatan (PLP). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin kurnia 209 darjah kebesaran dan pingat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI