Sultan Nazrin kurnia 209 darjah kebesaran dan pingat

KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah, di sini, pada Sabtu.

Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri.

Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen mendahului senarai 209 penerima darjah kebesaran dan pingat pada sesi kali ini.

Mohd Arshil yang merupakan penerima tahun 2020 menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), diikuti Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Sihimah Wahid dan Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dr Rofina Yasmin Othman yang sepatutnya menerima darjah berkenaan pada tahun 2021.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan PCM kepada 13 penerima bagi tahun 2023, diikuti 31 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 20 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 42 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 57 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 31 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 15 Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Pada pengurniaan itu, dua atlet negara, Mohamad Rifdean Masdor yang memegang rekod tiga kali juara dunia sukan muaythai dan pemenang pingat gangsa acara terjun 3.0 meter papan anjal seirama di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Muhd Shafiq Puteh dianugerahkan pingat PJK.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan ratu olahraga kategori 400 meter Asia Tenggara, Shereen Samson Vallabouy yang tersenarai sebagai penerima pingat sama bagaimanapun tidak dapat hadir kerana perlu meneruskan program latihan dan urusan pengajian di luar negara.

Pada 5 November lalu Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak di Istana Iskandariah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengurniakan Wan Zahidi, Zulkapli Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 pada 3 November lalu.

Artikel Berkaitan: 

Keputeraan Sultan Perak: Wan Zahidi, Ayob Khan antara 238 penerima Darjah Kebesaran

Sultan Nazrin berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI