IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyatakan sokongan penuh sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.
Pengerusinya, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, PKR Perak akan menyokong segala keputusan yang diputuskan kepimpinan pusat berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dilihat dapat membantu dalam memastikan keadaan parti lebih stabil.
“Bagi PKR Perak, kita faham dengan keadaan kita menjadi kerajaan sekarang, untuk memastikan kelangsungan kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan ini, saya rasa ada perkara yang perlu dinilai dan memastikan PKR adalah tunjang utama kerajaan berada dalam keadaan baik.
“Sudah semestinya parti lain dan juga gabungan dalam kerajaan akan menjadi lebih kukuh tapi bermula dengan PKR sendiri,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Bendahari PKR Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak di Pejabat PKR Perak di sini pada Isnin.
Sebelum ini Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan berkata, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Mei ini.
Katanya, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini bagi memastikan dalaman parti lebih tenang serta melancarkan khidmat bakti kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jawatan Presiden, Timbalan Presiden PKR tidak dipertandingkan