Suspek kes samun buat pusingan U rempuh polis

TELUK INTAN – Usaha dua suspek kes samun cuba meloloskan diri termasuk menyeret salah seorang anggota polis yang menghalang kenderaan yang dinaiki mereka tidak berhasil apabila berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Labu Kubong, di sini dan Ipoh.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis turut melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan cermin kereta yang dinaiki suspek bagi mempertahankan diri anggota yang diseret kenderaan suspek berhampiran masjid di Labu Kubong.

Menurut Ahmad Adnan, terdahulu pihaknya menerima aduan berhubung kejadian samun bersenjatakan parang dan disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 11.30 pagi.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh,  berjaya mengesan dan mengekori suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dari Ipoh menghala ke Kampung Gajah.

“Ketika tiba di Kampung Gajah, suspek dipercayai dua lelaki warga tempatan berumur 28 dan 31 tahun telah menyedari kehadiran pihak polis dan bertindak memecut kenderaan yang dinaiki sehingga dapat ditahan berhampiran sebuah masjid di Labu Kubong.

“Semasa proses tangkapan berlaku, suspek bertindak membuat pusingan u secara tiba-tiba dan mengundur kereta yang dipandunya sehingga melanggar hadapan kenderaan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, pihak polis kemudiannya keluar dari kenderaan dengan salah seorang anggota cuba untuk membuka pintu belakang kereta yang dinaiki suspek bagi melakukan tangkapan ke atas suspek yang duduk di bahagian belakang.

Beliau berkata, bagaimanapun, cubaan berkenaan gagal kerana suspek yang memandu kereta bertindak mengundur secara berbahaya sehingga menyeret salah seorang anggota hingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri.

Polis lepaskan satu das tembakan untuk pertahan diri
Senjata parang dan peket plastik dipercayai dadah jenis heroin yang dirampas daripada dua suspek kes samun bersenjata. Foto Ihsan IPD Hilir Perak

Katanya, pemandu kereta berkenaan kemudiannya memandu secara mengundur namun berjaya dihalang oleh salah sebuah kenderaan lain sebelum seorang lagi suspek yang duduk di bahagian belakang cuba melarikan diri.

“Anggota polis kemudiannya berjaya menahan suspek yang cuba meloloskan diri, tetapi pemandu kenderaan berkenaan berjaya melarikan diri dan dikejar pihak polis sebelum ditahan di Kampung Rapat, Ipoh,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek yang memandu kenderaan mengalami luka di bahagian bahu sebelah kanan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala anggota polis yang diseret tidak mengalami kecederaan.

“Semakan rekod lampau dapati pemandu kenderaan mempunyai 24 rekod lampau manakala seorang lagi memiliki 11 rekod lampau.

“Polis turut menemukan peket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun semasa tangkapan dilakukan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI