Polis sita 50 motosikal dalam operasi banteras samseng jalanan

BALIK PULAU – Sebanyak 50 buah motosikal disita polis dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, operasi tiga jam bermula 2 pagi itu bagi membendung samseng jalanan dan membanteras kegiatan mat rempit.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan oleh dua pegawai dan 18 anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Barat Daya bersama seorang pegawai dan 14 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

“Sebanyak 50 buah motosikal telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986 dan sebuah motosikal dirampas serta disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1986 kerana memalsukan nombor pendaftaran.

“Dalam operasi itu, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 144 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Operasi itu juga katanya bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan dan kenderaan mereka mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Pihak polis bersama JPJ akan menjalankan operasi seperti itu dari semasa ke semasa bagi mencegah kegiatan samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

–BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI