Polis tahan 30 pelacur warga asing dalam serbuan tiga premis

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam serbuan berasingan di tiga premis di Jalan Pasar Baharu, Jalan Pudu dan Jalan Imbi di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua wanita berusia lingkungan 23 hingga 59 tahun itu ditahan reman selama empat hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk aktiviti berkenaan antaranya 14 gulung tisu, 16 helai tuala mandi, 16 peket tisu basah, 100 keping kondom, sekeping kad akses, empat botol losyen dan wang tunai RM400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang untuk memberikan kerjasama dengan menghubungi Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI